suria

Gandingan Marlon Alex James Bakal Kembali Ke Alor Setar?

Khyril Muhymeen (kiri) merupakan penyerang yang digandingkan dengan Marlon Alex James ketika Kedah menjuarai double treble.

MUNGKINKAH salah seorang ikon bola sepak Kedah, Khyril Muhymeen, bakal membuat kemunculan semula bersama skuad Helang Merah tidak lama lagi?

Segalanya tidak mustahil selepas Khyril yang kini bersama pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengakui telah dihubungi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebaik pintu perpindahan pemain dibuka pada 15 Mei lalu.

Khyril turut mengakui sedikit terkejut namun dalam masa sama teruja dengan hasrat Kedah. Cuma sehingga kini dia akui masih belum ada perbincangan secara mendalam.

"Betul..memang ada pihak Kedah buat panggilan dan bertanyakan mengenai hasrat saya, sama ada nak balik semula ke sana atau tidak?

"Rasa macam tak percaya pun ada tetapi buat masa ini saya belum terfikir apa-apa lagi kerana masih di PKNS.

"Pihak pengurusan mungkin akan tahu perkara ini, apa-apa kita tunggulah macam mana nanti, buat masa ini segalanya belum pasti, " katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Khyril masih sayangkan PKNS memandangkan pasukan itu berani beri peluang kedua buat dirinya selepas kerap kali dilanda kecederaan beberapa musim lalu.

Tambah pemain yang menghabiskan masa remaja bersama skuad hijau kuning itu, dia berjaya mendapat tempat bersama PKNS serta digunakan selaku watak gantian dalam kebanyakan perlawanan.

"Saya kena fikir masak-masak soal ini kerana PKNS pun banyak beri peluang kepada saya untuk bermain.

"Sudah tentu peluang ke Kedah juga sukar dilepaskan namun saya pun kena kenang budi PKNS.

"Apa-apa pun saya akan tunggu kata putus majikan jika benar Kedah serius mahu dapatkan saya," jelasnya.

Khyril merupakan pemain muda Kedah paling menyerlah semasa pasukan itu muncul juara double treble pada tahun 2007 dan 2008.

Perjalanan karier anak jati Alor Setar ini tampak indah untuk beberapa musim apabila dia terus bersama Kedah sehingga 2013 malah sering kali dipanggil untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.

Namun, sebaik membuat keputusan untuk berhijrah ke Negeri Sembilan pada 2014, Khyril bergelut mendapatkan kembali prestasi sebenarnya ekoran masalah kecederaan termasuk ketika bersama Air Asia FC.

Bagaimanapun, Khyril dilihat berjaya dapatkan rentak asalnya di PKNS pada musim ini malah diturunkan dalam kesebelasan utama semasa menentang Kedah, 9 Mei lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain