suria

Kedah Rangkul Piala FA 2017

Kedah juara Piala FA 2017.

SHAH ALAM: Kedah juara Piala FA 2017.

Skuad Kedah yang digelar 'Helang Merah' berjaya menamatkan kemarau trofi kejuaraan selepas 2008, sekaligus merekodkan pencapaian keempat keseluruhan bagi aksi Piala FA.

Pada aksi akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam ini, kedua-dua pasukan menunjukkan corak permainan berhati-hati dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan.

Namun pemain import Kedah kelahiran Denmark, Ken Liso Larsen berjaya memecah barisan pertahanan Pahang menerusi tandukan pada minit ke-19, untuk jaringan sulung perlawanan.

Skuad bimbingan penolong jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusoff itu menguasai permainan walaupun Pahang tampil dengan corak lebih agresif.

Malang buat pasukan Pahang apabila seorang pemainnya, Francisco Insa Bohigues menerima layangan kad kuning kedua, sekaligus diarah keluar padang gara-gara menjatuhkan pertahanan Kedah, Rizal Ghazali, minit ke-32.

Bermain dengan sepuluh pemain memaksa anak buah Dollah Salleh bekerja keras mengejar serangan pemain-pemain Kedah yang beberapa melakukan percubaan berbahaya ke gawang lawan.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar berjaya menambah gol kedua pasukan Kedah pada minit terakhir babak  pertama.

Dalam keghairahan meraikan dua gol, pasukan Kedah terpaksa akur dengan jaringan Heo Jaewon sebelum wisel rehat separuh babak pertama ditiup pengadil Nagor Amir Noor Mohamed.

Jaringan pemain import dari Korea Selatan itu menggegarkan stadium dengan sorakan penyokong-penyokong Pahang.

Dengan kehadiran 78,000  penyokong kedua-dua  pasukan yang memenuhi setiap pelusuk stadium pastinya memanaskan lagi aksi separuh masa kedua.

Skuad 'Tok Gajah' cuba bangkit pada babak kedua dengan corak hantaran yang lebih mantap dan cuba mencipta beberapa peluang gol.

Namun, sekali lagi stadium bergema dengan sorakan penyokong Kedah apabila Baddrol menambah gol ketiga pasukannya pada minit ke-73.

Tersentak dengan jaringan lawan, Pahang bangkit merapatkan kedudukan dengan gol kedua menerusi Mohamadou Sumareh, minit ke-79.

Aksi berbalas gol merancakkan perlawanan sehingga wisel akhir yang menyaksikan Kedah bergelar juara musim ini dengan keputusan gol 3-2.

Senarai pemain:

Pahang: W.Mohammad Azraie W Teh, Mattjew Thomas Davies (K), Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Francisco Insa Bohigues, Yamil Jorge Gonzalo Romero, Ahmad Syamim Yahya, Mohd Faisal Mohd Rosli, Heo Joewon Mohammad Muslim Ahmad, Mohamadou Sumareh, Matheus Alves Leandro

Ketua jurulatih: Dollah Salleh

Kedah: Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, Mohd Syawal Nordin,Mohd Fitri Omar, Baddrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi, Ken Liso Larsen, Sandro Da Silva Mendonca, Muhammad Akram Mahinan, Khairul Helmi Johari (K), Mohd Rizal Mohd Ghazali, Mohd Syazwan Zainon

Penolong jurulatih:  Mohd Nidzam Adzha Yusoff

Piala FA 2017

Artikel Sebelum

Keputusan Bundesliga

Artikel Berikut

Artikel Lain