suria

Piala FA: Ini Agenda Nidzam Adzha

KETUA jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff mempunyai agenda tersendiri dalam perlawanan akhir Piala FA bertemu Pahang di Stadium Shah Alam pada Sabtu.

Legenda skuad hijau kuning itu mendedahkan, setelah berjaya menjulang Piala FA sebanyak dua kali sebagai pemain pada 90-an, kini beliau ingin mendakapnya sebagai jurulatih.

Menurut Mohd Nidzam, beliau tidak menjangka akan mengendalikan pasukan Kedah sebagai ketua jurulatih pada perlawanan akhir Piala FA kali ini.

Bagaimanapun, cabaran itu perlu dihadapinya selepas Tan Cheng Hoe dilantik sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya.

"Semua mahu menjadi ketua jurulatih tetapi tanggungjawabnya bukanlah mudah. Ia perlukan tumpuan, dedikasi dan kekuatan mental bagi menhadapi segenap tekanan yang datang.

"Setelah bersama Cheng Hoe dan Kedah sejak 2015, saya tidak menghadapi masalah untuk mengenal pasti keupayaan pemain dan juga corak permainan.

"Corak permainan kita mengikut kemampuan barisan pemain dan kesungguhan. Ia memberikan hasil sejak 2015.

"Tetapi ini bukan keselesaan untuk saya dan pemain kerana banyak juga yang perlu diperbaiki jika inginkan kemenangan," katanya kepada mStar Online.

Mohd Nidzam memberitahu, kemenangan pada separuh akhir lalu tidak boleh dijadikan ukuran bahawa skuadnya mampu sebaliknya memerlukan lebih usaha untuk berjaya.

"Dalam perlawanan akhir ini kita akan bertemu Pahang dan mereka juga layak kerana mempunyai kekuatan tersendiri.

"Apa yang penting kita perlu memberi sepenuh perhatian dan berusaha untuk membawa pulang Piala FA ke Alor Setar semula selepas kali terakhir pada 2008.

"Kita juga tidak terlepas pandang bahawa Pahang akan menurunkan penyerang import baharunya dari Argentina, oleh itu persiapan akan dilakukan sebaik mungkin," ujarnya.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, sorakan penyokong akan menjadi sebahagian daripada kekuatan pemain di atas padang nanti untuk mereka terus berusaha mendapatkan kejayaan.

Kedah, Liga Super, Piala FA, Pahang

Artikel Sebelum

Klopp Temui Pengganti

Artikel Berikut

Artikel Lain