suria

Kenapa Pilih Vingada?

PETALING JAYA: Sehari selepas pelantikan Nelo Vingada sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan tentang 'kesilapan' dalam bola sepak Malaysia sehingga menyaksikan kemalapan skuad kebangsaan gagal bersinar di persada antarabangsa.

Menerusi kenyataan rasmi dalam laman Facebook FAM, Tunku Ismail berkata, sebagai sebuah negara bola sepak, Malaysia dari dulu tidak membuat keputusan yang betul dalam tempoh masa yang sangat lama.

Jelasnya, bola sepak di negara ini, bersama-sama dengan persatuan bola sepak yang lama tidak aktif, masih belum lagi merupakan negara bola sepak yang matang.

"Kami tidak membuat keputusan yang betul untuk masa yang sangat lama. Bukan saya sahaja yang sedar mengenai masalah ini tetapi semua yang terlibat dalam dunia bola sepak dari luar negara," ujarnya.

Rentetan pelantikan Vingada sebagai jurulatih kebangsaan, Tunku Ismail juga mendedahkan tentang satu daripada sebab yang paling tidak diberi perhatian oleh ramai pihak terhadap perkara itu.

Jelasnya, sebab yang paling jelas adalah bekas jurulatih Arab Saudi dan Seoul FC tersebut adalah seorang ketua dengan pengalaman yang luas dan pencapaiannya, sekali gus merupakan keputusan yang terbaik untuk memilih beliau.

"Akibat 'tidur lena yang panjang' oleh bola sepak Malaysia, perhatian tidak diberikan kepada keupayaan jurulatih dari Portugal itu untuk berkongsi ilmu pengetahuan bola sepak daripada Eropah dan ideologi mendidik jurulatih tempatan," ujarnya.

Tunku Ismail berkata, pelantikan Vingada bukan sahaja sekadar membimbing pasukan kebangsaan dan pemain tetapi khidmatnya diperlukan untuk mendidik jurulatih tempatan.

"Dan itulah sebabnya saya percaya bahawa Nelo Vingada adalah pilihan yang tepat," katanya.

Vingada akan melaksanakan tugas pertama untuk mengemudi Malaysia menentang Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun depan.

Kemudian, Vengada akan mengambil-alih tugas pengurusan skuad bola sepak negara di tanah air untuk menentang Lebanon di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos di Johor selang lima hari kemudian.

Digelar sebagai 'The Professor' kerana kaedah pengurusannya yang bijak dan amat dikenali atas gaya kejurulatihan yang baik selain sikap tegas dan dominan terhadap pemain memikat FAM untuk melantiknya menggalas tanggungjawab besar itu.

Vingada akan tiba di Malaysia pada 25 Mei untuk memulakan tugasannya secara rasmi sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia dan memulakan kerjasama dengan para pemain.

Nelo Vingada, Tunku Ismail, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Lain