suria

Semua Okay - TCH

PETALING JAYA:  "Everything okay dah settle semua."

Demikian ujar bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe tentang status kontraknya sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya sejak dilamar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kenyataan itu sekali gus membayangkan bahawa isu kontraknya sudah dimuktamadkan bersama FAM.

Pada masa sama, Cheng Hoe berkata, tidak timbul dakwaan beliau masih lagi menunggu kontrak yang dijanjikan.

"Tiada masalah... saya amat gembira ketika ini," katanya.

Malah, beliau turut mengakui tidak sabar untuk bergandingan dengan jurulatih baharu Harimau Malaya, Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada yang akan tiba di Malaysia pada 25 Mei ini.

"Saya sudah bersedia untuk memulakan tugas bersama ketua jurulatih," katanya tanpa mengulas lanjut tentang kontrak yang diterima daripada FAM.

Pada Isnin, timbul desas-desus bahawa Cheng Hoe masih lagi menunggu kontrak yang dijanjikan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya.

Difahamkan beliau sudah melapor diri di Wisma FAM pada Khamis lalu tetapi belum memulakan tugasnya lagi.

Tugas di FAM bukan sesuatu yang asing buat Cheng Hoe kerana beliau pernah menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal sebelum ini.

Ketika zaman itu, beliau berjaya membantu Rajagobal mencipta kejayaan merangkul pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan Piala AFF 2010.

Cheng Hoe meletak jawatan sebagai jurulatih Kedah pada 1 April lalu selepas menerima tawaran FAM untuk menggalas jawatan penolong jurulatih Harimau Malaysia.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menamakan Cheng Hoe untuk mengisi jawatan tersebut selepas pemilihan dilakukan bekas pengendali Johor Darul Ta'Zim (JDT) Mario Gomez yang menyifatkan beliau jurulatih terbaik tempatan ketika ini.

Namun FAM tidak melantik Gomez sebagai ketua jurulatih Harimau Malaysia selepas didakwa meminta bayaran gaji yang tinggi.

FAM bagaimanapun pada Isnin melantik Vingada untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak kebangsaan.

Sementara itu, usaha mStar Online untuk menghubungi Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagi mendapatkan pengesahan mengenai kontrak Cheng Hoe tidak berhasil apabila panggilan tidak berjawab.

Malah, Timbalan Presiden FAM, Datuk Subahan Kamal ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen sebaliknya meminta agar merujuk isu itu kepada Hamidin.

Tan Cheng Hoe, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bukan Kerana Duit! - Kafa

Artikel Lain