suria

Juventus Ke Final Liga Juara-Juara

Sebahagian daripada pemain Juventus meraikan kejayaan mereka layak ke final Liga Juara-Juara Eropah selepas mengalahkan AS Monaco dengan agregat 4-1. -fotoAFP

JUVENTUS menjadi pasukan pertama menempah tiket final Liga Juara-Juara Eropah musim ini selepas menundukkan AS Monaco 2-1 dalam perlawanan separuh akhir kedua, awal pagi Rabu.

Juventus mara ke final dengan agregat 4-1.

Mario Mandzukic dan Dani Alves menjadi penyumbang gol untuk Juventus yang bermain di kandang sendiri, manakala gol Monaco diperolehi melalui Kylian Mbappe.

Satu gol Alves kali ini membuatkan pemain dari Brazil itu menjadi pemain yang terlibat dalam tujuh gol Juventus di Liga Juara-Juara musim ini. Ketika menang di kandang Monaco, Alves memberikan dua assist.

Walaupun turun dengan kelebihan dua gol tanpa balas berkat kemenangan dalam separuh akhir pertama, Juventus tetap tampil menyerang.

Pada babak pertama sahaja, mereka mampu melakukan tujuh tendangan ke arah gawang lawan, dengan dua daripadanya menghasilkan gol.

Dalam perlawanan akhir, Juventus akan bertemu Real Madrid atau Atletico Madrid yang akan berdepan antara satu sama lain, awal pagi Khamis di Stadium Vicente Calderon.

Terdapat beberapa rekod yang dicatat Juventus apabila mereka layak ke final.

Ketika menghadapi Monaco di J-Stadium, pertandingan tersebut merupakan perlawanan yang ke-250 mereka dalan saingan Eropah.

Penampilan kelab ini dalam pertandingan Eropah merupakan yang terbanyak berbanding dengan kelab-kelab Itali yang lain.

Kemenangan ini juga mejnadikan Juventus menjadi pasukan dari Itali yang mampu melepasi catatan Milan yang tidak pernah kalah dalam Liga Juara-Juara selama 641 minit.

Ia juga sekali gus menandakan bahawa skuad bimbingan Massimiliano Allegri ini tak pernah kalah dalam 12 pertandingan berturut-turut dalam perlawanan Eropah buat pertama kali.

Dan kini, Juventus telah menyamai rekod AC Milan sebagai pasukan yang sering layak ke final Liga Juara-Juara sejak 1992, iaitu sebanyak enam kali.

Liga Juara-Juara, Juventus

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Super

Artikel Lain