suria

Hantar Pemain Ke Luar Negara

IPOH: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menghantar pemain muda bermain dalam liga luar negara bagi menimba pengalaman, sekali gus meningkatkan prestasi skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, pendekatan itu perlu dilakukan kerana sehingga kini tahap pencapaian skuad Harimau Malaya masih tidak mampu menyaingi kehebatan Jepun dan Korea Selatan di peringkat Asia.

"Setakat ini, hanya kejayaan di peringkat Asia Tenggara seperti Sukan SEA dan Piala AFF sahaja yang berjaya dikecapi.

"Untuk melangkah lebih jauh kita masih tercari-cari formula terbaik bagi memastikan Malaysia kembali menjadi antara pasukan yang digeruni di Asia dan dunia," katanya dalam sidang media di sini Selasa.

Beliau berkata, penambahbaikan daripada aspek pengurusan dan peraturan Liga Malaysia juga perlu dibuat selain FAM perlu menjadikan model liga di Eropah sebagai rujukan.

"Kita tak mahu lagi mendengar pelbagai masalah dan rungutan daripada pelbagai pihak dan saya fikir perlu ada satu sistem yang lebih efisien untuk meningkatkan kembali kredibiliti liga bola sepak negara," katanya.

Raja Ahmad Zainuddin turut yakin dengan wujudnya Liga Malaysia yang lebih kompetitif, akan mampu menarik lebih ramai pemain import berkualiti bermain untuk pasukan negeri.

"Secara tidak langsung, dengan adanya pemain import yang berkualiti ia akan meningkatkan tahap permainan pemain tempatan terutama yang mewakili negara," katanya.  - BERNAMA 

Liga Malaysia, FAM

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Super

Artikel Berikut

Artikel Lain