suria

Elavarasan Puji Skuad Semut Merah

Pemain-pemain PKNS meraikan jaringan gol pada aksi bertemu Kedah, Selasa malam.

SHAH ALAM: Ketua jurulatih pasukan PKNS FC, E. Elavarasan memuji kebangkitan yang dipamerkan skuad Semut Merah yang berjaya mengikat Kedah 4-4 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, Selasa malam.

Beliau menyifatkan semangat tidak berputus asa untuk bangkit pada penghujung babak perlawanan selepas ketinggalan pada satu ketika, menjadi kunci utama kekuatan pasukan berkenaan, musim ini.

"Saya lihat pemain sudah mengatasi kelemahan pasukan kita pada babak kedua walaupun ketinggalan 1-3 pada babak pertama perlawanan.

"Saya berharap pemain dapat mengekalkan momentum ini dalam menghadapi baki saingan Liga Super," katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Mengulas lanjut, Elavarasan mengakui kelonggaran barisan pertahanan skuad Semut Merah dalam 'merantai' pergerakan lincah jentera serangan Kedah menjadi punca mereka ketinggalan pada babak awal perlawanan.

Katanya keadaan padang yang becak susulan hujan lebat pada awal perlawanan selain faktor keletihan selepas kembali dari Singapura, menyebabkan rentak permainan pasukan berkenaan agak perlahan.

Untuk rekod, PKNS FC yang mewakili Pilihan Selangor tewas 2-3 kepada Pilihan Singapura pada aksi Piala Sultan Selangor 2017 di Stadium Nasional Singapura, Sabtu lepas.

"Kita akan mantapkan bahagian tengah, pertahanan atau serangan (untuk perpindahan pemain musim kedua pada bulan depan) namun bergantung kepada peruntukan daripada pihak pengurusan," kata Elavarasan.

Dalam pada itu, pemangku ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata beliau berpuas hati dengan keputusan seri itu memandangkan skuad Lang Merah turun tanpa dua tonggak utama, iaitu penyerang Liridon Krasniqi yang mengalami kecederaan serta Mohd Rizal Ghazali yang menjalani penggantungan satu perlawanan.

"Pada perlawanan itu, kita mendahului 3-1 pada separuh masa pertama sebelum diikat 4-4, jadi kita kena semak semula di mana kelemahan pasukan yang perlu diperbaiki untuk aksi Liga Super selepas ini," katanya.-Bernama

E. Elavarasan, PKNS, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain