suria

Jangan Biarkan Stadium Nasional Bertukar Jadi Laman Mereka - Fandi

Fandi Ahmad.

SINGAPURA: "Kita tidak boleh biarkan Stadium Nasional bertukar menjadi laman mereka," kata ketua jurulatih skuad Pilihan Singapura, Fandi Ahmad yang mahukan penyokong bola sepak republik itu tampil 'menggegarkan' gelanggang tersebut esok.

"Saya harap penyokong akan  hadir menunjukkan sokongan kepada pemain dan pasukan Pilihan Singapura terutama selepas mendengar Selangor akan membawa ribuan penyokong mereka," katanya.

Pilihan Singapura akan beraksi menentang Selangor PKNS dalam aksi utama merebut Piala Sultan Selangor selepas kelab itu dipilih membawa cabaran negeri tersebut.

Sehingga akhir bulan lepas, hampir 16,000 tiket telah dijual, kurang 9,000 daripada sasaran penganjur dan daripada itu 10,000 tiket dibeli penyokong Selangor, sekali gus mencetuskan kebimbangan kepada skuad Pilihan Singapura.

"Ia pasti satu perlawanan menarik untuk disaksikan," kata Fandi dalam satu kenyataan yang diletakkan dalam laman web Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Skuad Singa itu memerlukan 'Sorakan Kallang' dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang diperoleh hasil kemenangan 4-3 ke atas Selangor menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Shah Alam tahun lepas.

Menurut Fandi yang anaknya Irfan turut tersenarai dalam skuad itu, pasukan bimbingannya adalah gandingan pemain muda dan berpengalaman, serta beberapa pemain import berkualiti dalam Liga Singapura.

Edisi ke-16 kejohanan ini kembali diadakan di Singapura sejak 2009 dan yang pertama kali dilangsungkan di Hab Sukan Singapura.

Seperti biasa, perlawanan pembuka tirai membabitkan Veteran Singapura dan Veteran Selangor akan diadakan sebelum aksi utama itu.

Bekas ketua pasukan Singapura, Samad Allapitchay, Malek Awab, Shahri Rahim, E.Manimohan, Steven Tan dan Razali Saad adalah antara pemain yang akan beraksi untuk Veteran Singapura.

Satu perlawanan merebut Piala Cabaran Sekolah Singapura-Selangor juga diperkenal untuk kali pertama tahun ini di mana skuad bawah 16 tahun Sekolah Sukan Singapura akan menentang pasukan Gabungan Sekolah Selangor, sebelum aksi dua pasukan veteran itu.

Selangor dan Singapura  pernah bertemu dalam 17 final Piala HMS Malaya dan enam perlawanan akhir Piala Malaysia, sehinggakan perseteruan kedua-dua pasukan menjadi kenangan peminat bola sepak.

Berikutan ketiadaan Singapura daripada Liga Malaysia sejak 1995, kehebatan saingan kedua-dua pasukan tetap ditagih peminat.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada ketika masih menjadi Raja Muda memperkenalkan Piala Raja Muda pada 2001 yang membabitkan kedua-dua pasukan itu bagi meneruskan perseteruan mereka yang hebat. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain