suria

Pemain Kedah Tidak Terganggu Isu Jurulatih

ALOR SETAR: Pemain Kedah tetap memberikan tumpuan seratus peratus semasa latihan bagi memastikan skuad Lang Merah mampu menambah mata ketika berdepan pasukan PKNS FC bagi Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Ketua Pasukan Kedah Khairul Helmi Johari ketika dihubungi berkata semua pemain menjalani latihan seperti biasa walaupun sejak beberapa hari lalu pasukan itu dilanda isu berkaitan status ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe yang menerajui pasukan Kedah sejak 2014 telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada 1 April lalu setelah ditawarkan menjadi pembantu jurulatih Harimau Malaya.

"Kami (pemain) jalani latihan seperti biasa dan tidak terganggu dengan perkara itu. Tambahan, semalam semasa latihan dia (Cheng Hoe) ada bersama untuk memberi arahan dan tunjuk ajar sebagai persiapan perlawanan Sabtu ini.

"Segala arahan yang diberikan kami dengar. Apa yang sedang diperkatakan sekarang, itu hal peribadi dia. Jadi semua pemain tidak mahu masuk campur kerana bimbang ia akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Khairul Helmi berkata segala persediaan untuk perlawanan Sabtu ini telah siap dan semua pemain akan memberikan persembahan terbaik demi penyokong-penyokong Lang Merah.

"Semua pemain berada dalam kondisi yang baik manakala pemain-pemain yang dibelenggu kecederaan seperti Ahmad Fakri Saarani dan Muhamad Syazwan Tajuddin juga semakin pulih dan turut sama turun padang menjalani latihan semalam.

"Bermain di laman sendiri ditambah pula dengan sokongan padu daripada penyokong Kedah, kami yakin mampu peroleh kemenangan namun dalam masa yang sama kami tidak mahu terlalu selesa dan memandang rendah pada kebolehan pemain-pemain PKNS," katanya.

Kedah kini berada di tangga pertama dalam Liga Super musim ini selepas  mengutip 18 mata.

Kedah, Tan Cheng Hoe, PKNS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain