suria

Sukan SEA: Saingan Sengit Malaysia-Thailand Rebut Juara Keseluruhan

Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kiri) serta Kobkarn Wattanavrangkul pada acara pelepasan Larian Baton 'Rising Together Baton Run' sempena Sukan SEA dan 'ASEAN Para Games 2017' di Stadium Tertutup Huamark pada Ahad. Foto: Bernama

BANGKOK: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berjanji kontinjen Malaysia akan menampilkan prestasi terbaik pada Sukan SEA 2017 bagi merampas kedudukan selaku juara keseluruhan dari Thailand.

Sebagai tuan rumah, beliau berkata atlet negara akan memberi tentangan sengit bagi menewaskan Thailand dan muncul juara keseluruhan Sukan SEA ke-29 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 19 hingga 31 Ogos depan.

"Thailand akan menjadi pesaing hebat kepada kita dan mereka sentiasa antara yang terbaik (pada Sukan SEA). Saya merasakan persaingan sengit antara Malaysia dan Thailand untuk muncul juara keseluruhan pada tahun ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penutup Larian Baton Bangkit Bersama Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur di Stadium Tertutup Huamark di sini pada Sabtu. 

Biarpun bersaing untuk muncul juara keseluruhan, beliau mengingatkan kepada kesemua atlet bahawa Sukan SEA juga adalah temasya sukan persahabatan yang diadakan dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara.

Khairy berkata Sukan SEA turut memberi peluang kepada atlet-atlet muda dirantau ini untuk mempamerkan bakat mereka.

"Saya rasa persaingan akan menjadi sengit namun dalam situasi persahabatan,"katanya, sambil menambah bahawa Sukan SEA kali ini adalah yang pertama selepas penubuhan Komuniti ASEAN.

Selain Sukan SEA, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN kesembilan dari 17 hingga 23 September depan.

Mengenai persiapan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN, Khairy berkata beliau gembira kerana kerja-kerja persediaan bagi memastikan temasya sukan itu berjalan lancar menunjukkan kemajuan.

Berhubung larian berkenaan dan kemungkinan menjadi acara tetap Sukan SEA, katanya perkara itu bergantung kepada negara penganjur, namun beliau berpendapat ia dapat memupuk banyak nilai perpaduan dalam kalangan negara-negara di rantau ini.

Peringkat seterusnya Larian Baton Bangkit Bersama Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, akan diadakan di Vietnam dan Timor Leste, bulan ini.

Beliau turut mempelawa rakyat Thailand agar berkunjung ke Kuala Lumpur untukmemberi sokongan kepada atlet mereka semasa berlangsung Sukan SEA dan Sukan ParaASEAN.

Menteri Sukan dan Pelancongan Thailand Kobkarn Wattanavrangkul, yang turuthadir pada majlis penutup larian itu, berkata mengekalkan kedudukan selaku juara keseluruhan bukan sesuatu yang terlalu penting berbanding memelihara perpaduan dalam kalangan negara-negara ASEAN. -Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain