suria

Bruno Dipilih Pemain Terbaik Liga Bulan Februari

PETALING JAYA: Pemain Negeri Sembilan , Bruno Suzuki dipilih sebagai penerima anugerah pemain terbaik bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM)-asiana.my bagi bulan Februari 2017.

Menurut Bruno, dia tidak menyangka anugerah pemain terbaik ini akan menjadi miliknya.

"Saya gembira kerana mendapat anugerah ini untuk kali pertama dan pastinya kemenangan ini akan membakar semangat saya untuk beraksi lebih baik untuk pasukan yang saya wakili.

"Kejayaan ini juga datangnya dari barisan pengurusan dan rakan-rakan sepasukan yang sentiasa memberikan kerjasama di atas padang, tidak lupa juga pada penyokong Negeri Sembilan yang mengundi saya sepanjang tempoh undian ini berlangsung," jelas Bruno dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Presiden PFA Malaysia Hairuddin Omar, Timbalan Presiden PFA Malaysia Rezal Zambery Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia Izham Ismail pada majis ringkas yang diadakan di UiTM cawangan Seremban 3 pada Selasa.

Bruno menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500 trofi sumbangan Ideasia, baucer barangan sukan dari Kobert yang bernilai RM500 dan gambar beserta bingkai pemain sumbangan Asiana.my.

Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM – asiana.my ini dikelolakan PFAM dengan kerjasama asiana.my.

Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada pemain-pemain bola sepak profesional daripada PFAM.

Sesi pemilihan dibuat melalui panel pemilih PFAM - Asiana.my yang terdiri daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek lima calon setiap bulan dan undian akan dibuka kepada seluruh peminat bola sepak di Malaysia.

Bruno menerima undian tertinggi sebanyak 51.6% (1,689 Undi) mengalahkan empat calon lain iaitu Shahrel Fikri dari PKNP FC (33 peratus - 1,081 Undi), Lutfulla Turaev dari Terengganu FA (10.8peratus - 354 Undi), Dimitri Bodric dari MISC-MIFA (4.2 peratus - 137 Undi) dan Dao Bakary dari PDRM FA (0.4 peratus - 11 Undi).

Para pengundi boleh membuat undian melalui desktop, laptop, telefon pintar, atau tablet dan boleh menggunakan semua jenis pelayar (browser) melalui laman web rasmi PFAM iaitu www.pfam.my dan juga www.asiana.my.

Undian ini akan dibuka selama sepuluh hari untuk peminat-peminat bolasepak mengundi calon pilihan mereka.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain