suria

Nicol Mara Suku Akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Britain

Gambar fail Nicol David.

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David meneruskan aksi cemerlang dengan mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Britain 2017 yang berlangsung di Arena Airco di Hull, England lewat Khamis (Jumaat di Malaysia).

Pemain nombor tujuh dunia itu yang turun sebagai pilihan keenam dalam kejohanan itu diberi menerima tentangan hebat daripada pemain Hong Kong, Joey Chan sebelum menang 11-4, 14-12, 9-11 dan 11-2 pada perlawanan pusingan kedua yang berlangsung kira-kira 47 minit.

Mengenai kemenangan itu, pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 33 tahun itu berkata, beliau gembira mencapai kemenangan walaupun menghadapi saingan sengit daripada lawannya yang lebih muda.

"Anda mendapat dorongan beraksi di gelanggang kaca, jadi saya fikir saya telah meningkatkan prestasi saya. Saya gembira untuk melangkah ke suku akhir, dan saya menaruh harapan bagi menghadapi perlawanan yang mendebarkan esok," Nicol dipetik sebagai berkata dalam laman web kejohanan; www.allambritishopensquash2017.com.

Nicol selaku juara Terbuka Britain sebanyak lima kali bakal menghadapi laluan sukar apabila berdepan dengan pemain nombor dua dunia iaitu pemain Perancis, Camille Serme dalam aksi suku akhir pada lewat Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Serme, juara Terbuka Britain 2015, melangkah ke pusingan seterusnya dengan menewaskan pemain nombor 13 dunia iaitu pemain Mesir, Nour El Tayeb dengan 11-8, 11-9, 5-11 dan 11-9 dalan satu lagi aksi pusingan kedua. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain