suria

Muay Thai: Bekas Juara Eropah Bantu Skuad Negara

Yury Zhukovsky

KUALA LUMPUR: Peninju Belarus, Yury Zhukovsky bakal menjadi taruhan kontinjen Muay Thai negara dalam misi memburu kejayaan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan bermula dari 19 hingga 31 Ogos ini.

Ketua Jurulatih Muay Thai negara, Bernard Radin berkata kehadiran Zhukovsky,33, sebagai jurulatih bermula pada fasa ketiga Program Kita Juara pada April ini, mampu menjadi kunci utama negara dalam menghadapi cabaran getir peninju Thailand yang dianggap sebagai lawan utama.

Bernard berkata kemahiran serta pengalaman berlawan yang dimiliki Zhukovsky yang juga bekas Juara Kejohanan Piala Eropah Persekutuan Antarabangsa Amatur Muay Thai (IFMA) 2011 adalah sebagai satu bonus untuk menaikkan semangat peninju negara.

"Belarus merupakan sebuah negara yang sangat berani dan cukup terkenal dengan kehebatan peninju mereka yang kerap memberikan tentangan hebat kepada Thailand di peringkat antarabangsa. Peninju Thailand sering berdepan masalah apabila bertemu peninju Belarus kerana mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dari segi taktikal dan teknikal ketika bertarung," katanya kepada pemberita pada sidang media Program Kita Juara 2017 bersama skuad Muay Thai di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, Rabu.

Sementara itu, atlet Muay Thai negara, Muhammad Ali Yaakub berkata peluang berlatih bersama Zhukovsky akan digunakan sebaik mungkin bagi mencapai impian meraih emas dalam kategori 54kg pada temasya dwi tahunan itu.

"Saya akan gunakan peluang berlatih bersama dia (Zhukovsky) untuk mendalami seberapa banyak teknik berlawan yang boleh dan untuk Sukan SEA ini, saya akan cuba buat yang terbaik bagi mendapatkan emas," katanya.

Sebagai rekod, skuad Muay Thai negara berjaya membawa pulang dua emas dan tiga gangsa pada penampilan sulung di temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar. -Bernama

Artikel Lain