suria

Piala AFC: JDT Ungguli Kumpulan F, Jinakkan Global FC

Pemain JDT Gabriel Guerra diasak pemain Global FC Wesley Dos Santos pada perlawanan Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin malam Selasa. fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Bermain di laman sendiri nyata memberikan semangat kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas kelab Filipina, Global FC dalam perlawanan peringkat Kumpulan F Piala AFC, malam Selasa.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini itu bermula dengan aksi garang sejak minit pertama dengan JDT hampir membuka jaringan pada minit keenam menerusi Ahmad Bakri.

Namun, ketangkasan penjaga gol pihak lawan Patrick Deyto tidak dapat dinafikan apabila berjaya menepis percubaan terbabit.

Gol pertama Harimau Selatan kemudian hanya hadir pada minit ke-30 melalui Mahalli Jasuli yang memanfaatkan hantaran bola daripada kapten pasukan Safiq Rahim.

Tiga minit selepas itu, gawang lawan sekali lagi bergegar dengan jaringan sepakan penalti Safiq.

Sepakan itu dihadiahkan oleh pengadil Kim Daeyong selepas Ahmad Bakri dijatuhkan oleh pemain Global FC di kotak penalti.

Pada minit ke-86, pemain import JDT Brian Federico Ferreira terus memberikan tekanan kepada pasukan lawan dengan merembat gol ketiga untuk skuadnya, sebelum Marcos Antonio menambah lagi jaringan pada minit ke-89.

Dengan kemenangan ini, JDT melonjak daripada tempat kedua ke tangga teratas kumpulan dengan menghimpun tujuh mata, memintas Global FC dengan kelebihan satu mata. - BERNAMA 

JDT, Global FC, Piala AFC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala AFC 2017

Artikel Lain