suria

Hos Sukan Komanwel 2022, Terserah Kepada Kerajaan - MOM

Tuanku Ja'afar pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif di Wisma OCM pada Selasa. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk membida Sukan Komanwel 2022 bergantung kepada persetujuan kerajaan memandangkan penganjuran temasya itu melibatkan kos yang sangat besar, kata Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presidennya Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata MOM bersedia untuk membida acara sukan empat tahun sekali itu jika kerajaan bersetuju.

"Saya percaya Malaysia berupaya menganjurkan Sukan Komanwel sekali lagi kerana kita pernah berbuat demikian pada 1998.

"Dengan fasiliti yang sedang dibina (dan ditambah baik) bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kita berada di landasan tepat untuk menjadi tuan rumah yang baik bagi Sukan Komanwel," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM yang berlangsung selama tiga jam di Wisma OCM di sini Selasa.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bergantung kepada keputusan kerajaan kerana MOM tidak akan meneruskan bidaan tanpa kebenaran kerajaan.

Persekutuan Sukan Komanwel pada Isnin melucutkan hak bandar raya Durban di Afrika Selatan untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2022 susulan kegagalan demi kegagalan bandar raya itu menepati tarikh akhir serta masalah kewangan.

Akhbar harian British, The Guardian melaporkan bandar raya Birmingham dan Liverpool di England berminat menganjurkan temasya itu bagi menggantikan Durban selaku tuan rumah.

Bandar raya Queensland di Australia akan menganjurkan Sukan Komanwel 2018 yang dijadualkan dari 4 hingga 15 April tahun depan.

Dalam perkembangan lain, anggota lembaga pengarah MOM bersetuju untuk mncadangkan dua perkara utama pada mesyuarat Exco Persekutuan Sukan SEA (SEAGF)pada 21-22 Mac ini, di sini.

Dua usul itu ialah penubuhan Panel Timbang Tara Sukan Sementara bagi memutuskan sebarang pertelingkahan perundangan semasa Sukan SEA Kuala Lumpur dan juga pembentukan Suruhanjaya Penyiaran bagi memastikan pihak terlibat berkongsi keuntungan daripada pelaburan mereka selain memastikan penyiaran lebih baik.

"Singapura telah meletakkan standard yang tinggi dari segi penyiaran semasa Sukan SEA 2015 dan kita perlu setara atau lebih lagi berbanding mereka," katanya.

Tunku Imran berkata setiap anggota SEAGF dibenar menamakan calon dari negara masing-masing untuk menyertai panel timbang tara sukan sementara pada mesyuarat itu namun kerusi pengerusi pastinya diisi oleh Malaysia memandangkan Kuala Lumpur adalah hos temasya yang dijadualkan pada Ogos ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bekas pemain badminton kebangsaan Wong Choong Hann telah dipilih sebagai Chef-de-Mission kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Belia 2017 yang dijadualkan dari 19 hingga 23 Julai ini di Bahamas. - BERNAMA

Sukan Komanwel 2022, MOM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala AFC 2017

Artikel Lain