KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), mengetuai kemaraan tujuh pasukan ke suku akhir Piala FA selepas berakhirnya perlawanan pusingan ketiga, malam Sabtu.
JDT membenam pasukan Liga Perdana, UiTM FC, 4-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menerusi jaringan Gonzalo Cabrera pada minit ke-19 dan minit ke-53, Ahmad Hazwan Bakri (minit ke-21) dan Mohd Fadhli Shas pada minit ke-70.
Juara Piala Malaysia 2016, Kedah, turut melangkah ke suku akhir selepas menang 2-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan Zachary Anderson pada minit ke-28 dan Ken Ilso Larsen pada minit ke-43.
Di Stadium Darul Makmur, juara dua kali Pahang, pula menewaskan Melaka United 2-0 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import dari Korea Selatan, Jaewon Heo, pada minit ke-15 dan Mohd Nor Azam Abdul Azih pada minit-86.
Dalam pada itu, juara dua kali Negeri Sembilan diheret ke masa tambahan 30 minit sebelum menundukkan Pulau Pinang 4-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Pemain import dari England, Lee Andrew Tuck, muncul wira skuad Rusa apabila melakar jaringan hatrik pada minit ke-107, minit ke-112 dan minit ke-120.
Sebelum itu, Negeri Sembilan mendahului perlawanan menerusi jaringan Marko Simic pada minit ke-45 sebelum Reinaldo Lobo menyamakan kedudukan untuk Pulau Pinang pada minit ke-48.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pula berjaya menewaskan pasukan 'adik', T-Team, dengan catatan 1-0 hasil jaringan tunggal pemain import dari Uzbekistan, Lutfulla Turaev, pada minit ke-120.
Terdahulu, perlawanan berkenaan dicemari dengan insiden kekasaran di antara kedua-dua pasukan sehingga memaksa pengadil, Mohd Nafeez Abdul Wahab, melayangkan kad merah kepada pemain T-Team, Mohamad Azalinullah Mohammed Alias, pada minit ke-62.
Nasib sama turut menimpa Terengganu yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain, selang lapan minit kemudian selepas Mohd Firdaus Mohd Faudzi mengutip kad kuning kedua.
Kekecohan yang berlarutan di antara kedua-dua pasukan memaksa Mohd Nafeez mengarahkan penolong pengurus pasukan Terengganu, Mohd Sabri Abas, dan penolong jurulatih Terengganu, Azhari Salim, meninggalkan padang kerana dikatakan mempertikaikan keputusan pengadil.
Sabah pula menang bergaya 4-2 ke atas pasukan Piala FAM, MOF FC, di Stadium Likas.
Sarawak turut mara ke suku akhir selepas menang tipis 2-1 ke atas Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Dua gol skuad Bujang Senang dijaringkan oleh Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-26 dan Andrew Mark Hartmann pada minit ke-35.
Untuk rekod, pasukan Liga FAM PKNP FC menewaskan Kuantan FA 5-4 pada aksi tunggal pusingan ketiga di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat.
Undian suku akhir Piala FA dijadual berlangsung pada Ahad menerusi program 'Nasi Lemak Kopi O' di TV9. - BERNAMA


