suria

PFA: Syamsul Ganti Razip Ismail

Syamsul Mohd Saad.

KANGAR: Bekas ketua jurulatih Liga Super Perak, Syamsul Mohd Saad dipilih menggantikan Razip Ismail yang melepaskan jawatan sebagai pengendali pasukan Perlis.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Rozabil Abdul Rahman dalam satu kenyataan media hari ini berkata Syamsul juga akan mengetuai program kejulatihan PFA.

Razip melepaskan jawatan serta merta selepas Perlis tumpas 0-5 kepada Kuantan FA di Kuantan baru-baru ini.

Syamsul merupakan bekas pemain Perak dan kebangsaan. Beliau pernah mewakili  pasukan kebangsaan dalam saingan pusingan kelayakkan Piala Dunia 2006.

"Pemilihan Syamsul diharap membawa perubahan dan pemulihan pasukan Perlis yang belum menang selepas lapan perlawanan dan kini berada di tangga tercorot Liga Perdana.

"PFA memandang berat prestasi buruk pasukan dan kemungkinan akan mendapatkan pemain baharu bagi menguatkan pasukan apabila masa membeli pemain dibuka Mei ini," kata Rozabil.

Beliau turut meminta penyokong tegar Singa Utara agar memberi sokongan padu kepada Syamsul.

"Saya bagi pihak PFA ingin mengucapkan terima kasih kepada Razip atas sumbangan dan usaha beliau untuk menaikkan Perlis sejak dilantik sebagai ketua jurulatih menjelang hampir permulaan Liga 2017," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Lain