suria

Liga Perdana: UiTM FC Sekat Rekod Cemerlang N. Sembilan

SHAH ALAM: Pendahulu Liga Perdana, Negeri Sembilan gagal meneruskan rentak kemenangan selepas seri 1-1 dengan pasukan UiTM FC pada aksi tertunda liga itu di Stadium UiTM, Selasa.

Perlawanan itu yang dihentikan pada minit ke-32 pada 26 Jan lepas akibat hujan lebat dan kilat, disambung semula hari ini.

Ketika itu, Negeri Sembilan mengatasi lawan hasil jaringan tunggal pemain import dari Jepun, Bruno Suzuki pada minit ke-31.

Pada aksi tersebut,bermula minit ke-32, UiTM lebih banyak menguasai perlawanan untuk memburu gol penyamaan.

Mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang import dari Korea Selatan, Do Donghyun pada minit ke-67 dan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga perlawanan tamat.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Asri Ninggal ketika ditemui pemberita, mengakui keadaan padang yang becak akibat hujan lebat pada awal perlawanan, sedikit sebanyak mengganggu corak permainan kedua-dua pasukan.

Beliau menegaskan keputusan itu selepas pasukannya melakar tujuh kemenangan berturut-turut, sebelum ini merupakan satu peringatan kepada pemainnya supaya tidak mengambil mudah ke atas lawan.

Bagaimanapun keputusan ini tidak menggugat kedudukan Negeri Sembilan yang terus mengungguli carta Liga Perdana dengan 22 mata manakala UiTM FC naik satu anak tangga ke kedudukan keempat selepas lapan perlawanan.

Walaupun UiTM FC dan Polis Diraja Malaysia berkongsi 13 mata, UiTM FC berada di tangga keempat menerusi kelebihan jaringan.-Bernama

UiTM FC, Negeri Sembilan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain