suria

Rosmadi Sedia Kerjasama Dengan Sesiapa Jika Terpilih

Rosmadi Ismail.

KOTA BARU: Calon Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Rosmadi Ismail bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana individu dalam persatuan induk berkenaan jika dipilih menjawat jawatan itu.

Rosmadi, yang juga Naib Prsiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan untuk menentukan siapakah yang layak untuk memegang jawatan tersebut.

"Perwakilan mempunyai kuasa untuk memilih dengan melihat sumbangan individu yang dipilih itu, adakah calon tersebut mampu melakukan yang terbaik untuk pembangunan bola sepak negara.

"Saya amat terbuka, selagi apa yang dilakukan demi kemajuan bola sepak, saya boleh bekerja dengan siapa sahaja kerana kesemua calon yang bertanding pada kongres kali ini saling mengenali antara satu sama lain," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Ahad.

Rosmadi merupakan antara sembilan calon yang akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden FAM dalam Kongres FAM kali ke-53 yang dijadual berlangsung pada 25 Mac ini.

Calon lain adalah Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk S.Sivasundram, Johari Ayub, Datuk Abdul Ghani Hassan, Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Shamsul Anwar Sulaiman, Datuk Astaman Abdul Aziz dan Marzuki Sulong.

Rosmadi berkata beliau menawarkan diri bertanding untuk merebut jawatan itu untuk melihat pembangunan sukan bola sepak negara yang lebih baik pada masa akan datang.

"Kali ini saya terpanggil untuk menawarkan khidmat kepada FAM kerana saya rasa dengan pengalaman bersama Kafa dan pernah menjadi exco FAM, saya mampu memberikan sesuatu yang positif kepada FAM," katanya. - BERNAMA

Rosmadi Ismail, FAM

Artikel Lain