suria

Gibbons Raih Dua Jersi Di LTdL 2017

Gibbons ceria bersama trofi LTDL selepas majlis penyampaian hadiah siri Jelajah Le Tour de Langkawi 2017 peringkat kelapan dari Setiawangsa ke Putrajaya sejauh 121km pada Rabu. fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Pelumba muda dari pasukan Dimension Data, Ryan Gibbons muncul pelumba keempat Afrika Selatan yang berjaya menyarung jersi Kuning sebagai Pelumba Terbaik Keseluruhan di Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi yang berakhir di sini Rabu.

Biarpun menamatkan perlumbaan di tempat keempat daripada keseluruhan 97 pelumba dalam peringkat terakhir (peringkat kelapan) meliputi jarak 121 km dari Setiawangsa sehingga Putrajaya, pelumba berusia 22 tahun itu layak mendapat jersi berkenaan selepas mencatat masa 29 jam empat minit dan 57 saat di keseluruhan lapan peringkat pertandingan.

Pelumba Australia, Cameron Bayly daripada pasukan IsoWhey Sports SwissWellness dan pelumba Itali, Alberto Cecchin daripada pasukan Wilier Triestina masing-masing menamatkan kedudukan keseluruhan di tempat kedua dan ketiga selepas ketinggalan hanya 33 saat dan 35 saat di belakang Gibbons.

Pelumba Afrika Selatan itu juga meraih jersi Teal sebagai Raja Pecut dengan mengumpul 75 mata tetapi gagal untuk menyamai rekod pelumba Australia, mendiang Damian McDonald yang meraih ketiga-tiga jersi - Kuning (keseluruhan), Hijau (pecut) dan Polka Dot - dalam edisi pertama LTdL pada tahun 1996.

Sebagai juara, Gibbons membawa pulang piala LTdL, sijil dan plak pemenang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Untuk rekod, tiga pelumba Afrika Selatan - mendiang Ryan Cox daripada  Barloworld dan David George, mewakili pasukan kebangsaan Afrika Selatan, masing-masing memenangi jersi Kuning berturut-turut dalam edisi 2005 dan 2006, selain Reinardt Janse van Rensburg yang memenangi jersi itu tahun lepas.

Pelumba Denmark, John Kronborg Ebsen daripada pasukan Infinite AIS Cycling pula memenangi jersi Merah sebagai Raja Bukit selepas mengumpul 36 mata keseluruhan manakala pelumba Jepun Hideto Nakane daripada pasukan Nippo Vini-Fantini memperoleh jersi Putih sebagap Pelumba Terbaik Asia.

Biarpun persembahan yang kurang menyerlah daripada pelumba Malaysia, peserta berpengalaman Loh Sea Keong daripada pasukan Thailand Continental Cycling menceriakan peminat tempatan selepas memenangi Anugerah Pelumba Paling Berdaya Saing sebagai Pelumba Paling Agresif dalam peringkat akhir.

Bercakap pada sidang media kemudian, Gibbons berkata beliau gembira untuk memperoleh pencapaian terbesar dalam kerjaya berbasikal profesionalnya dan melihat Robert Hunter sebagai model contoh terbaik buatnya untuk mendapat lebih banyak penghormatan di masa hadapan.

"Setiap hari, menyarung jersi Kuning walaupun anda mendapat sokongan rakan sepasukan dan prestasi yang baik serta yakin kepada diri sendiri, ia sebenarnya membuatkan anda sedikit tertekan tetapi saya gembira memenangi jersi ini.

"Beliau (Hunter) adalah pelumba pertama Afrika Selatan mendapat kemenangan peringkat di Le Tour de France selain tiga kemenangan Grand Tours dan sudah pasti beliau sebagai model contoh kepada saya dan beliau sebenarnya telah meletakkan acara berbasikal di dalam peta Afrika Selatan, " katanya.

Sementara itu Travis McCabe dari Amerika Syarikat mewakili pasukan UnitedHealthCare Pro Cycling merasa teruja mencatat kemenangan peringkat buat kali kedua hari ini, selepas memenanginya Khamis lepas dan tidak menolak beliau kaan kembali ke negara ini untuk menyertai LTdL pada masa hadapan.

"Perlumbaan pada hari ini agak sukar kerana terdapat beberapa zon pendakian dan beberapa pakar pecut turut berada di sana ... pecutan sehingga selekoh terakhir tetapi dalam 300 meter terakhir, saya mengambil kesempatan untuk meraih kemenangan, kata anak kelahiran Arizona yang buat julung kali menyertai LTdL.

Nakane juga gembira selepas menjadi pelumba keenam Jepun yang menyarung jersi Putih di LTdL selepas Hideto Yukinari dalam edisi 1999, Tomoya Kano pada 2003, adik beradik Fukushima, Koji and Shinichi masing-masing dalam tahun 2005 and 2008 serta Tomohiro Hayakawa pada 2015. - BERNAMA

Ryan Gibbons, LTdL 2017

Artikel Sebelum

Keputusan La Liga

Artikel Berikut

Artikel Lain