suria

LTdL: Enrico Barbin Juarai Peringkat Keenam

Enrico Barbin.

MUAR: Pelumba Itali, Enrico Barbin menjuarai peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Senawang ke Dataran Tanjung Emas, di sini membabitkan jarak 176.3km pada Isnin.

Anthony Giacoppo dari pasukan IsoWhey Sports SwissWellness menduduki tempat kedua diikuti seorang lagi pelumba Itali, Filippo Pozzato dari Team Wilier Triestina.

Ketua juri, Ibrahim Omar memberikan catatan masa yang sama iaitu 4 jam 9 minit 16 saat selepas kesemua 10 pelumba teratas melepasi garisan penamat dalam kelompok.

Pelumba Afrika Selatan, Ryan Gibbons dari Team Dimension Data, mengekalkan jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan dan juga jersi teal sebagai Raja Pecut, walaupun tidak berada dalam kelompok 10 pelumba teratas itu.

Kapten Terengganu Cycling Team, Mohd Zamri Saleh muncul pelumba terbaik negara dalam perlumbaan pada Isnin selepas menduduki tempat ke-10 daripada 105 peserta.

Rakan sepasukannya, Mohd Shahrul Mat Amin mengekalkan Anugerah Perlumba Terbaik Malaysia dengan catatan keseluruhan 23 jam 10 minit 14 saat selepas enam peringkat. - BERNAMA

LTdL 2017

Artikel Sebelum

Artikel Lain