suria

Menang Ke Atas Swansea, Chelsea Kukuh Kedudukan Di Puncak Liga

Cesc Fabregas menjaringkan gol pembukaan buat Chelsea. -fotoAFP
CHELSEA mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu liga apabila meraih kemenangan 3-1 ke atas Swansea dalam perlawanan di Stamford Bridge, London, malam Sabtu.

Kedua-dua kelab menurunkan kekuatan terbaik, tetapi sebagai tuan rumah Chelsea berusaha untuk menguasai permainan sejak wisel permulaan ditiup.

Usaha tersebut telah membuahkan hasil apabila Cesc Fabregas berjaya meledakkan gol pembukaan pada minit ke-19 setelah memanfaatkan umpan daripada Pedro.

Tersentak dengan gol Fabregas, pasukan lawan berusaha bangkit untuk menyamakan kedudukan.


Usaha mereka tidak sia-sia apabila Fernando Llorente berjaya mengikat kedudukan 1-1 sebelum tamat babak pertama, membuatkan penyokong tuan rumah tergamam seketika.

Pada babak kedua, The Blues terus melakukan serangan.

Pada minit ke-72, Stamford Bridge gamat apabila Pedro menjadikan The Blues kembali mendahului. Tendangan Pedro dari luar kotak penalti gagal diselamatkan oleh Fabianski.


Selang 12 minit, Chelsea semakin menjarakkan kedudukan dengan gol 3-1.

Eden Hazard yang berjaya menembusi pertahanan Swansea City dari sebelah kiri telah mengirimkan umpan untuk disempurnakan Diego Costa. Chelsea menang 3-1.

Tambahan tiga mata menjadikan Chelsea kian jauh daripada para pesaingnya di carta Liga Perdana Inggeris.

Setakat ini The Blues mengumpul 63 mata, manakala Manchester City di posisi kedua dengan 52 mata, diikuti Tottenham dengan 50 mata.
Chelsea, liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain