suria

Presiden FAM: Annuar Terbuka, Sedia Bertemu TMJ

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa terbuka untuk bertemu dan berunding dengan pencabarnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung pemilihan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Kalau ada peluang jumpa boleh jumpa, Tunku Mahkota Johor (TMJ) kawan saya, tak ada masalah. Ada peluang jumpa kita jumpa, ada peluang runding kita boleh runding," kata bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita jika pihaknya ada perancangan untuk bertemu dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan secara terperinci mengenai apa yang akan dibincangkan jika pertemuan itu diadakan, sebaliknya mahu semua pihak menghormati proses pemilihan tersebut.

"Saya cuba untuk tidak keluarkan terlalu banyak kenyataan mengenai perkara ini dan dalam tempoh bertenang. Saya tak nak kenyataan disalah ertikan dan cetus kontroversi," katanya selepas mempengeruskan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penerangan Umno, Ahad.

Annuar turut meminta semua pihak supaya tidak mensensasikan pemilihan tersebut dan berharap ia dibuat dalam suasana harmoni demi masa depan bola sepak negara.

"Pokoknya soal pemilihan presiden jangan terlalu disensasikan. Elok ia diadakan dalam suasana harmoni," katanya.

Sementara itu, Annuar juga enggan mengulas sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut atau sebaliknya.

Beliau berkata, keputusan mengenainya hanya akan diputuskan pada 24 Mac depan, iaitu sehari sebelum tarikh pemilihan.

"Saya tak perlu terlalu kalut kerana masa pun lambat lagi, pemilihan sebenar 25 Mac depan. Saya ingat 24 Mac baru saya berkira hal ini," katanya.

Beliau pada masa sama turut mengambil pendekatan menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada kesemua 39 perwakilan yang akan mengundi pada pemilihan itu.  

"Saya hormati mereka. Mereka ini mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak, malah lebih bagus daripada yang bertanding.

"Saya percaya dalam hati mereka dah ada sedikit sebanyak gambaran siapa mereka nak pilih dan sebagainya," katanya.

Annuar akan berdepan Tunku Ismail dalam pertembungan satu lawan satu untuk kerusi presiden FAM pada 25 Mac ini.

TMJ, Annuar Musa, FAM

Artikel Lain