suria

Wujud Konspirasi Menentang Saya - Mourinho

JOSE MOURINHO mendakwa wujud konspirasi untuk menjatuhkan pasukan bimbingannya, Manchester United ketika harapan Red Devils mengejar slot Liga Juara-Juara semakin kelam.

Malah Mourinho berkata, dia merasakan wujud kempen dalam kalangan pengadil dan pegawai perlawanan untuk menentang dirinya sepanjang musim ini.

Pengurus kelahiran Portugal itu mempersoalkan layanan buruk yang diterimanya oleh pihak pengadil berbanding pengurus lain di Liga Perdana Inggeris.

Sebagai contoh katanya, pengurus Arsenal, Arsene Wenger dan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tidak dikenakan hukuman berat berbanding dirinya.

"Anda sedar bahawa (layanan) yang saya terima berbeza. Peraturan untuk saya juga berbeza.

"Saya dikenakan pelbagai hukuman. Saya terpaksa menonton pasukan saya di hotel, dilarang memasuki stadium dan pembantu saya dikenakan larangan masuk stadium selama enam perlawanan walaupun tidak menyentuh sesiapa," katanya.

Kekecewaan Mourinho itu disuarakan selepas Manchester United gagal memanfaatkan peluang untuk merapatkan jurang dengan empat kedudukan teratas liga selepas sekadar seri dengan Hull City pada aksi awal pagi Khamis.

Mengulas tentang perlawanan itu, Mourinho menyifatkan beberapa keputusan pengadil kurang tepat, sekali gus menjejaskan rentak anak buahnya mengutip tiga mata penuh.

United kini berada di tangga keenam dengan 42 mata, hanya empat mata dipisahkan dengan Liverpool yang menghuni tangga keempat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain