suria

Sultan Johor Zahir Tahniah JDT Ke Pusingan Kelayakan Akhir ACL

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana muncul pasukan pertama negara yang layak ke pusingan kelayakan akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers bertitah, walaupun perjalanan JDT masih jauh dan akan berdepan kelab gergasi Asia, ia merupakan satu kejayaan apabila berada pada tahap ketika ini.

"Menjadi satu-satunya kelab tanah air yang bermain dalam pusingan kelayakan ACL merupakan satu penghormatan bukan sahaja kepada kelab tetapi juga satu penghormatan kepada Johor dan telah meletakkan nama negeri di mata dunia. 

"Tahniah sekali lagi kepada kelab JDT dan seluruh penyokong Harimau Selatan. Allah berkati Johor," titah baginda.

Pada aksi pusingan kedua kelayakan di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand, Selasa malam, JDT mara ke pusingan kelayakan akhir ACL selepas menewaskan Bangkok United 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti. 

JDT dijadual menentang kelab Liga Jepun, Gamba Osaka pada aksi pusingan kelayakan akhir di Stadium Suita City, Osaka, Jepun, 7 Februari ini. --Bernama

Sultan Johor, JDT, ACL

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain