suria

Coppa Italia: Inter Milan Tersingkir, Lazio Ke Separuh Akhir

-fotoAP
INTER Milan tersingkir daripada saingan Coppa Italia 2016-2017 setelah tewas 1-2 kepada Lazio dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung di Giuseppe Meazza, awal pagi Rabu.

Keputusan ini melayakkan Lazio beraksi di separuh akhir. Kelab ibu kota Itali itu akan menunggu pemenang antara AS Roma dan Cesena yang akan berentap pada Khamis.

Lazio berjaya mendahului pada minit ke-20 melalui Felipe Anderson yang memanfaatkan umpan silang Senad Lulic.

Anderson kemudian melepaskan tandukan yang gagal diselamatkan oleh penjaga gawang Inter.

Lazio sekali lagi mengancam gawang Inter pada minit ke-33 melalui aksi Ciro Immobile. Namun, bolanya mampu ditepis oleh Samir Handanovic.

Pada babak kedua, Inter melakukan dua pertukaran pemain.

Jurulatihnya Stefano Pioli memasukkan Mauro Icardi dan Joao Mario untuk menggantikan Rodrigo Palacio dan Ever Banega.

Namun, nasib tidak menyebelahi Inter apabila pada minit ke-54 Miranda dilayangkan kad merah kerana melanggar Immobile di kotak penalti.

Lucas Biglia yang mengambil sepakan penalti berjaya menyempurnakan tugasnya dan membawa Lazio unggul 2-0 ke atas Inter Milan.

Pada minit ke-76, Lazio juga terpaksa bermain dengan 10 orang pemain setelah Stefan Radu menerima kad kuning kedua kerana menjatuhkan Mauro Icardi.

Inter cuba memanfaatkan situasi jumlah pemain yang sama dan mereka berjaya mencipta gol pada minit ke-84 melalui Marcelo Brozovic.

Bagaimanapun, kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Coppa Italia, Ciro Immobile

Artikel Lain