suria

Iannone Terpantas Hari Kedua

Iannone berjaya mencatat masa terpantas di Litar Sepang. fotoBERNAMA

SEPANG: Penunggang pasukan Suzuki Ecstar, Andrea Iannone mencatat masa sepusingan terpantas pada hari kedua ujian pra-musim MotoGP 2017 di Litar Sepang, Selasa.

Catatan Iannone dari Itali pada satu minit 59.452 saat adalah setengah saat lebih pantas daripada yang dilakukan penunggang ujian Ducati, Casey Stoner dari Australia, Isnin.

Iannone merakamkan catatan terpantasnya di litar sejauh 5.543 kilomter itu pada pusingan ke-38 daripada 40 yang dilakukannya.

Pelumba Movistar Yamaha MotoGP, Maverick Vinales dari Sepanyol pula mengekalkan rentaknya untuk berada 0.407s di belakang Iannone.

Wakil pasukan Pull and Bear Aspar , Alvaro Baustista pula 0.766s di belakang pendahulu untuk berada di kedudukan ketiga.

Juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi menghuni tangga keempat dengan catatan terbaik 2:00.254s manakala juara bertahan, Marc Marquez dari Repsol Honda Team, yang berdepan masalah jenteranya berada di tempat ke-10 dengan catatan 2:00.531s.

Kira-kira sejam sebelum sesi ujian berakhir, penunggang Sepanyol, Esteve Rabat dari pasukan Estrella Galicia 0,0 Marc VDS, terbabas di selekoh 7 sehingga menyebabkan bendera merah dinaikkan.

Sesi ujian di Sepang akan berakhir pada Rabu.

Pusingan kedua sesi ujian akan diadakan di Phillip Island, Australia dari 15-17 Februari manakala pusingan ketiga di Qatar dari 10-12 Mac.

Perlumbaan MotoGP membabitkan 18 sirkit akan bermula di Qatar pada 26 Mac. - BERNAMA

Artikel Lain