suria

Piala Liga: Southampton Singkir Liverpool Mara Ke Final

Pemain-pemain Southampton meraikan kejayaan mara ke aksi akhir Piala Liga selepas menewaskan Liverpool dengan agregat 2-0.

SOUTHAMPTON mara ke saingan akhir Piala Liga buat kali pertama dalam tempoh 38 tahun selepas menyingkirkan Liverpool pada aksi separuh akhir kedua di Anfield, awal pagi Khamis.

Penyerang Republik Ireland, Shane Long yang memanaskan kerusi pemain simpanan ketika babak pertama bertindak cemerlang menjaringkan gol pada minit ke-90.

Jaringan tunggal skuad Claude Puel itu cukup untuk membawa mereka ke pentas akhir dengan agregat 2-0.

Kali terakhir Southampton mara ke final pada tahun 1979.

Kemenangan ini turut memberi nafas baharu kepada Southampton untuk mengintai sebuah trofi yang gagal dijulang sejak tahun 2003.

Manakala Liverpool yang menaruh harapan tinggi untuk mara ke final terpaksa akur dengan keputusan itu yang dilihat pemain-pemain Jurgen Kloop gagal menggunakan peluang gol menerusi percubaan Emre Can. 

Aksi cemerlang penjaga gol Southampton, Fraser Forster yang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya telah membawa kelabnya ke aksi akhir.

Southampton bakal berdepan dengan Manchester United atau Hull City pada aksi akhir di Wembley pada 26 Februari depan.

Southampton, Liverpool, Piala Liga

Artikel Lain