suria

Zac Anderson Tolak Tiga Pasukan Demi Kedah

Zac Anderson

PEMAIN import baharu Kedah, Zachary Michael Anderson mendedahkan telah menolak pelawaan tiga pasukan di negara ini bagi menyertai skuad hijau kuning bagi musim 2017.

Pemain pertahanan yang lebih mesra dengan panggilan Zac Anderson itu berkata, sejak akhir tahun lalu dia telah menerima tawaran dari empat pasukan Liga Malaysia termasuk Kedah.

Bagaimanapun selepas mendapat nasihat daripada beberapa rakan yang pernah beraksi di negara ini, pemain berusia 25 tahun itu akhirnya memilih untuk menjadi pertahanan Kedah.

"Setelah mendapat tawaran dari beberapa pasukan di Malaysia termasuk Kedah, saya telah bertemu dengan Shane Edward Smeltz (bekas penyerang Kedah) untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pasukan ini. Dia telah memberitahu bahawa Kedah adalah sebuah pasukan yang dibarisi ramai pemain muda dengan gabungan tonggak senior.

"Perkembangan itu telah membuka hati saya untuk membuat pertimbangan selanjutnya. Jika boleh saya ingin bersama pasukan seperti ini kerana mereka juga juara Piala malaysia musim lalu.

"Saya juga berpeluang berbual dengan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe menerusi telefon dan ketika itu saya telah diberi gambaran lebih jelas mengenai masa depan pasukan Kedah," katanya kepada mStar Online.

Zac Anderson memulakan kariernya sebagai pemain profesional dengan menyertai kelab Gold Coast United pada 2009 hingga 2012, seterusnya bersama kelab Central Coast Mariners dari 2012 hingga 2015 dan kemudian bersama Sydney FC pada 2015 sebelum diikat bersama kelab UAE iaitu Emirates Club pada 2016. Dia juga pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Australia bawah 20 dan 23 tahun pada tahun 2009 dan 2012.

Bercerita lebih lanjut, menurutnya, selepas beberapa hari berada di Alor Setar, dia kagum melihat sikap pemain selain penyokong skuad hijau kuning.

Jelasnya, wujud persefahaman dan keakraban di kalangan pemain selain sokongan padu daripada penyokong termasuk ketika sesi latihan.

"Saya memang kagum dengan penyokong Kedah yang bersama pasukan mereka di mana sahaja, tidak kira di gelanggang sendiri atupun lawan, saya melihat sokongan mereka dalam video yang diberikan oleh Shane Smeltz.

"Video itu telah memberikan inspirasi kepada saya untuk beraksi dengan sebaik mungkin untuk mendapatkan lebih kejayaan," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain