suria

BAM Perkenal Insentif Pemain Ranking Tiga Terbaik Dunia

Mohamad Norza Zakaria.

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) buat pertama kalinya memperkenalkan insentif kepada pemain yang menduduki ranking tiga terbaik dunia bermula tahun ini.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, idea berkenaan tidak pernah disuarakan sebelum ini dan insentif itu hanya diberikan kepada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

Berikutan kejayaan pasangan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menduduki ranking pertama beregu lelaki, BAM merasakan pemain itu juga layak mendapat insentif yang sama, katanya.

Beliau menjelaskan insentif tersebut tidak terhad pada wang ringgit sahaja tetapi merangkumi kelas tiket perjalanan sama seperti yang diperolehi oleh Chong Wei.

"Sekarang ini pemain seperti V Shem/Wee Kiong sudah berada pada tahap tertinggi dalam badminton. Saya yakin pemain lain seperti beregu wanita dan campuran yang kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia mampu mengikut jejak dua jaguh dunia negara itu.

"Tujuan insentif ini adalah untuk mengalakkan lebih ramai pemain terus beraksi cemerlang dan berusaha untuk mencapai kejayaan yang optimum di peringkat antarabangsa," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kejurulatihan dan latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, Khamis.

Katanya, kriteria mengenai insentif tersebut akan diserahkan kepada Bendahari BAM, Datuk Lim Teong Kiat untuk tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza mengesahkan pihaknya telah memilih enam lagi muka baharu untuk diserapkan dalam program Podium berdasarkan kriteria terbaru yang dikeluarkan oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Pemain tersebut adalah Iskandar Zulkarnain (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki) dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran).

"Senarai pemain ini adalah prospek medal di Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel akan datang," tambahnya.

Mengenai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini, BAM telah menyenaraikan masing-masing 18 pemain lelaki dan wanita sebelum sembilan pemain terbaik lelaki dan wanita dipilih pada fasa terakhir Jun ini. - Bernama

BAM, Mohamad Norza Zakaria

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain