suria

Trio Serangan United Belasah Reading

Pemain United, Marcus Rashford berpuas hati apabila berjaya menyumbang gol untuk kemenangan pasukannya ketika menentang Reading, Sabtu.

MANCHESTER: Trio serangan 'kedua' Manchester United yang dibarisi  Wayne Rooney, Anthony Martial dan Marcus Rashford beraksi cemerlang, sekali gus menepati percaturan pengendali pasukan itu dengan kemenangan 4-0 ketika menentang Reading.

Keputusan menurunkan tiga pemain berkenaan dibuat Jose Mourinho apabila dia merehatkan dua pemain bintangnya, Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba.

Kesempatan itu tidak disia-siakan khususnya oleh ketua pasukan, Rooney untuk meledak gol pembukaan yang juga gol ke-249 sepanjang kariernya bersama The Red Devils pada minit ketujuh sebelum Martial menggandakan kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-15.

Rashford turut meletakkan nama sebagai penjaring selepas menyumbat dua gol pada minit ke-75 dan ke-79 untuk mengesahkan kemenangan bergaya buat pasukan tuan rumah.

Kelab gergasi England memulakan langkah kanan dalam misi mempertahankan trofi Piala FA yang dimenanginya musim lepas selepas mudah menewaskan Reading pada aksi pusingan ketiga di Old Trafford, Sabtu.

Keputusan tersebut meneruskan momentum cemerlang United yang kini berada pada tahap terbaik dengan merekodkan lapan kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan sejak bulan lepas.

United kini akan mengalihkan tumpuan pada perlawanan seterusnya menentang Hull City pada saingan separuh akhir Piala Liga England di Old Trafford, Rabu depan.



United, Reading, Rooney

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain