suria

Mikel Berhijrah Ke China, Tulis Surat Hargai Peminat

BEKAS pemain tengah Chelsea, John Mikel Obi menjadi bintang bola sepak terbaharu yang berpindah ke China.

Mikel dijangka bakal menerima gaji 140,000 pound seminggu (RM775, 800) bagi aksinya dalam Liga Super China itu.

Pemain berusia 29 tahun itu meninggalkan Chelsea pada Khamis dan bersetuju menandatangani kontrak bersama kelab Tianjin TEDA selepas kehilangan tempat dalam skuad utama Antonio Conte.

Mikel (kiri) bakal menyarung jersi Tianjin TEDA mengharungi saingan Liga Super China.

Namun bukan mudah buat Mikel untuk meninggalkan kelab setelah 10 tahun beraksi untuk The Blues.

Malah Mikel mengakui satu penghormatan dapat bermain untuk Chelsea selama ini.

Pemain tengah Nigeria itu turut berkongsi memorinya sepanjang berada di Stamford Bridge dengan menulis surat terbuka kepada penyokong-penyokong Chelsea dan memuat naikdi laman Twitter miliknya.

Antara catatan Mikel dalam surat itu:  'Bermain dalam Liga Perdana, liga terbaik dunia ini merupakan cita-cita setiap pemain profesional. Tetapi bermain untuk Chelsea, menjadi sebahagian daripada keluarga kelab ini, bekerja dengan pengurus-pengurus terbaik dunia merupakan satu penghormatan.

"Setiap kejayaan yang dicapai sepanjang berada di Chelsea merupakan kenangan istimewa buat saya: gol pertama saya ketika bertemu Macclesfield pada tahun 2007".


Surat yang ditulis Mikel selepas meninggalkan Chelsea.

Sebagai rekod, Mikel mula menyarung jersi Chelsea pada tahun 2006 selepas berhijrah dari kelab Lyn di Oslo.

Namun genap sepuluh tahun bersama Chelsea, pihak pengurusan kelab memutuskan tidak akan menyambung kontraknya yang berakhir pada November lalu.

John Mikel Obi, Chelsea, China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain