suria

Caceres Bakal Perkuat Barisan Pertahanan JDT II

PETALING JAYA: Kelab Bolasepak Johor Darul Tak'zim (JDT) mengesahkan telah menandatangani seorang pemain import dari Paraguay bagi menguatkan lagi barisan pertahanan skuad menjelang saingan Liga Malaysia musim ini.

Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards mengumumkan Samuel Caceres dari kelab Itacurubi de la Cordillera, Paraguay akan mengisi slot pemain luar negara untuk skuad JDT II.

"Samuel adalah pemain pertahanan yang berpengalaman. Pemain ini telah bermain untuk Kelab Atlético Independiente de Avellaneda dan Club Atletico Nueva Chicago (Argentina) serta New York Cosmos (Amerika Syarikat)," jelasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi  Johor Southern Tigers pada Jumaat.

Pasukan JDT II yang dibimbing jurulatih Benjamín Mora Mendivil bakal meneruskan saingan dalam Liga Perdana musim ini selepas berada di kedudukan ketiga tahun lalu.

Kehadiran Caceres,27, dalam skuad ini sekaligus melengkapkan senarai pemain import selepas mengikat pemain tengah Alex Smith (Australia), Nicolas Alberto Fernandez (Asteras Tripoli FC) dan Gabriel Miguel Guerra (Boca Juniors).

Skuad Harimau Selatan ini akan memulakan aksi pertama mereka dengan berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang, bertemu tuan rumah Kuala Lumpur pada 20 Januari ini. 


Alistair Edwards, JDT, Samuel Caceres

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain