suria

Terbuka Britain: Sivasangari Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy remaja kebangsaan S.Sivasangari meneruskan kemaraannya bagi memburu gelaran pada Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Britain 2017 yang berlangsung di Sheffield, England selepas menempah tempatnya ke peringkat separuh akhir.

Pemain kelahiran Kedah yang merupakan pemain pilihan ke-3/4 bagi kategori wanita bawah 19 tahun (B-19) mara ke peringkat keempat terakhir selepas mengenepikan rakan senegara Andrea Lee; 11-9, 11-5, 9-11, 11-7 dalam masa 38 minit pada Rabu waktu tempatan, menurut laman web kejohanan,www.britishjunioropen.com.

Dalam peringkat separuh akhir yang dijadual pada Khamis, pemain berusia 17 tahun itu akan dicabar Zeina Mickawy, yang mengecewakan pemain pilihan kedua kejohanan Amina Yousry; 11-7, 11-6, 9-11, 6-11, 12-10.

Selain Sivasangari, turut mara ke peringkat separuh akhir ialah Jessica Keng yang menewaskan Nour Ibrahim; 11-9, 11-4, 11-5 dalam kategori bawah 15 tahun (B-15) untuk bertemu dengan seorang lagi pemain Mesir, Farida Ahmed.

Dalam kategori bawah 13 tahun (B-13), pemain pilihan pertama, Aira Azman tidak menghadapi banyak cabaran untuk mengatasi wakil tuan rumah, Torrie Malik; 12-10, 11-4, 11-7 dalam masa 21 minit untuk bertemu pemain pilihan ke-3/4 dari Mesir, Salma El Tayeb.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kakaknya Aifa dalam kategori B-17 apabila tewas 6-11, 10-12, 9-11 kepada pemain England, Elise Lazarus selepas berhempas pulas selama 48 minit.

Dalam kategori lelaki, Duncan Lee, satu-satunya pemain Malaysia yang tinggal bagi meneruskan cabaran selepas menundukkan pemain Mesir, Karim El Barbary; 10-12, 11-5, 12-10, 11-9, untuk bertemu Abdelrahman Dweek dari Kanada dalam peringkat keempat terakhir. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain