suria

"Ada Yang Dengki Di Luar Sana" Kata Ronaldo Kepada Anak

Ronaldo bersama anak lelakinya Cristiano Jnr. foto lebuzz.eurosport.co.uk

CRISTIANO Ronaldo mendedahkan bahawa anak lelakinya Cristiano Jr terpaksa berdepan dengan cemuhan hanya kerana kedudukan bintang Real Madrid itu dalam dunia bola sepak profesional.

Pemain terbaik dunia itu berkata demikian ketika diajukan soalan membabitkan kerjayanya mengenai siapakah pemain yang lebih baik antara dirinya sendiri dan saingannya, Lionel Messi.

Perdebatan itu kini telah dikaitkan dengan anak lelakinya yang berusia enam tahun.

Ronaldo bagaimanapun berkata, anaknya cukup bijak untuk tidak cepat melatah berhubung kerjaya bapanya.

"Terdapat pihak yang kadang-kadang beritahu dia bahawa 'ada pemain lain yang lebih baik daripada bapa anda'. Tetapi dia tahu bagaimana untuk menangani keadaan itu," ujar Ronaldo kepada ON TV.

"Dia seorang budak yang bijak, seperti saya. Saya sering berpesan kepadanya supaya menjadi diri dan berbudi bahasa.

"Saya tahu dia akan melalui tempoh yang sukar kerana ada yang dengki di luar sana, tetapi saya melihat dia sebagai kanak-kanak yang riang," tambah Ronaldo.

Penyerang Real Madrid itu mengakui gembira jika anaknya mengikut jejak langkahnya.

"Sudah tentu saya amat gembira jika dia menjadi pemain bola sepak.

"Saya tahu ia merupakan satu cabaran dan bukannya mudah. Tetapi dia boleh menjadi apa sahaja yang dia mahu kerana saya tidak memberi tekanan kepadanya.

"Saya mungkin akan memberi penekanan mengenai hala tuju sebagai pemain bola sepak, tetapi bukan penjaga gol kerana saya mahu dia menjadi penyerang!" - Mail Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain