suria

RedONE Tunggu Lampu Hijau Taja Red Warriors

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi RedONE hanya menunggu lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menaja skuad The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketua Pegawai Pemasaran RedONE Malaysia, Ben Teh berkata pihaknya masih kekal dengan keputusan menaja pasukan Kelantan seperti yang diluahkan sebelum ini.

"Keputusan kini terletak sepenuhnya di tangan persatuan itu yang dijangka mengumumkan nasib skuad berkenaan Jumaat ini. Apa yang kami boleh buat waktu ini hanyalah menunggu keputusan KAFA," katanya tanpa mendedahkan jumlah penajaan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan penajaan kepada pasukan Serdang BC dan Bangsar Hawk BC untuk mengharungi saingan badminton SS Purple League di ibu pejabat syarikat itu, di Puchong, dekat sini.

RedONE sebelum ini telah menyatakan hasrat menaja skuad The Red Warriors bagi membantu mengatasi kemelut kewangan yang sedang dihadapi KAFA.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang perjanjian dibuat antara kedua-dua pihak.

KAFA dilaporkan berhasrat menarik diri daripada saingan Liga-M 2017 selepas gagal mendapatkan penajaan untuk menampung perbelanjaan pasukan yang mencecah RM15 juta kerana hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil.

Bagaimanapun, hasrat itu ditentang bekas presidennya, Tan Sri Annuar Musa yang bercadang mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi KAFA bagi membincangkan perkara berkenaan.

Pada Isnin, kerajaan Kelantan menyatakan kesediaan menghulurkan bantuan kepada KAFA untuk memastikan skuad The Red Warriors terus kekal beraksi dalam saingan Liga-M. 

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood dipetik sebagai berkata kerajaan negeri akan memperincikan bentuk bantuan yang akan disalurkan kelak. 

KAFA dijangka memutuskan sama ada kekal atau menarik diri daripada menyertai Liga-M pada Jumaat ini, iaitu hari terakhir pendaftaran pemain untuk liga itu. - BERNAMA

RedONE, KAFA, Red Warriors

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain