suria

Futsal AFF: Tujuh Pemain Muda Jadi Taruhan Skuad Chun Yong

Chiew Chun Yong

KUALA LUMPUR: Tujuh pemain muda antara 16 pemain disenarai Ketua Jurulatih Futsal Kebangsaan, Chiew Chun Yong untuk kem latihan pusat skuad futsal negara menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Bangkok,Thailand dari 23 hingga 29 Januari 2017.

Tujuh pemain berkenaan yang berusia bawah 22 tahun ialah Muhammad Azri Rahman (Felda United), Mohd Ridzwan Bakri (Sabah), Syed Aizad Daniel Syed Nasir dan Muhammad Aidil Shahril Rosli (MPSJ), Muhammad Amirul Sugito (Kuala Lumpur), Muhammad Ikhmal Firdaus (PBMM B-19) dan Mohd Awalludin Mat Nawi (Perak).

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan pada Rabu, memaklumkan Amirul dan Awalludin dipanggil menggantikan tempat dua pemain Selangor, Mohamad Fadzil Ab Karnim dan Mohd Ridhwan Zainal.

Manakala Ikhmal dipanggil menggantikan Nik Akif Syahiran Nik Mat, 17, yang telah menyertai pasukan bola sepak Piala Belia Felda United. Chun Yong berkata beliau melakukan pertukaran itu kerana ia sebahagian daripada proses pembangunan pasukan untuk masa hadapan.

"Saya tidak mahu menggunakan majoriti pemain senior kerana mengikut perancangan, saya mahu gabungan pemain senior dan muda dalam pasukan ini," kata kenyataan itu.

Baki sembilan pemain lagi ialah Muhammad Awaluddin Hassan, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin, Saiful Aula Ahmad (Selangor); Azrul Hadee Mohd Taufiq, Saiful Nizam Mohamad Ali, Mohd Azwann Ismail, Abu Haniffa Hassan (Felda United); Mohd Firdaus Razali (MPSJ) dan Akmarulnizam Mohd Idris (Pahang).

Chun Yong meletakan sasaran kepada anak buahnya untuk sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir pada kejohanan itu. Skuad futsal Harimau Malaysia bakal membuka kempen saingan Kumpulan B di Bangkok nanti bertemu Indonesia pada 23 Januari diikuti aksi kedua bertemu Laos (24 Januari) dan aksi ketiga bertemu Myanmar (25 Januari).

Jika layak ke separuh akhir, mereka akan bertemu pasukan dari Kumpulan Ayang terdiri daripada Thailand, Brunei dan Timor-Leste pada 27 Januari untuk memburu tempat ke pentas final pada 29 Januari.

Senarai 16 pemain:

Muhammad Awaluddin Hassan, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin, Saiful Aula Ahmad (selangor); Azrul Hadee Mohd Taufiq, Saiful Nizam Mohamad Ali, Mohd Azwann Ismail, Muhammad Azri Rahman, Abu Haniffa Hassan (Felda United); Mohd Firdaus Razali, Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Muhammad Aidil Shahril Rosli (MPSJ);Akmarulnizam Mohd Idris (Pahang); Mohd Ridzwan Bakri (Sabah); Muhammad Amirul Sugito (Kuala Lumpur); Mohd Awalludin Mat Nawi (Perak) dan Muhammad Ikhmal Firdaus (PBMM B-19). 

Artikel Lain