suria

JDT Mahu Jual Lucero Kepada Kelab Mexico

KUALA LUMPUR:  Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) memberi bayangan untuk melepaskan Juan Martin Lucero kepada sebuah kelab Mexico yang berminat mendapatkan khidmat penyerang import dari Argentina itu.  

Menerusi entri terbaharu dalam laman Facebook JDT, Johor Southern Tigers, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd Fahmy Yahya berkata Lucero akan dijual pada harga US$2.5 juta (RM11.206 juta) berbanding US$1.5 juta (RM6.723 juta) ketika mendapatkan pemain itu.

Skuad Harimau Selatan sebelum ini melepaskan rakan senegara Lucero, Jorge Pereyra Diaz kerana pemenang Anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak) Liga Super 2016 itu dilaporkan meminta gaji yang tinggi.

JDT bakal diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain import dari Argentina, Brian Ferreira dan Gonzalo Cabrerra selain bekas penyerang PKNS FC, Gabriel Miguel Guerra yang berkemungkinan besar beraksi untuk JDT II.

Pemain antarabangsa Singapura, Hariss Harun pula dilaporkan akan dipinjamkan sama ada kepada kelab Portugal atau Jepun selama setahun pada musim depan.

Skuad Harimau Selatan turut mempunyai seorang lagi pemain import iaitu Marcos Antonio dari Brazil yang beraksi di posisi pertahanan.-Bernama

Juan Martin Lucero, JDT

Artikel Lain