suria

Clattenburg Dinobatkan Pengadil Terbaik Dunia 2016

Clattenburg (kiri) menerima trofi Anugerah Pengadil Terbaik Dunia 2016.

MARK Clattenburg dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Dunia 2016 pada majlis Globe Soccer Awards yang berlangsung di Dubai pada Selasa.

Pengadil Inggeris yang dianggap luar biasa pada tahun ini bertugas pada aksi akhir perlawanan Liga Juara-Juara di antara Real Madrid dan Atletico Madrid serta final Euro 2016 di Perancis.

Clattenburg melengkapkan tiga perlawanan besar dengan mengadili perlawanan akhir Piala FA di antara Crystal Palace dan Manchester United.

Selain terlibat dengan perlawanan penting, Clattenburg turut menggunakan kelebihannya dalam menguruskan situasi getir seperti karenah penyokong yang membaling suar ke padang ketika aksi Croatia bertemu Republik Czech pada saingan Euro baru-baru ini.

Ketika insiden itu berlaku, Clattenburg dengan pantas mengarahkan pemain-pemain supaya berlindung dan menghentikan permainan beberapa minit.

Selain itu, Fernando Santos turut menerima anugerah Jurulatih Terbaik Dunia apabila membawa pasukan Portugal menjuarai Euro 2016.

Perez menerima trofi anugerah Kelab Terbaik Dunia serta Presiden Kelab Terbaik untuk Real Madrid.


Manakala Real Madrid dipilih sebagai Kelab Terbaik berikutan kejayaan mereka meraih trofi Liga Juara-Juara dan presiden kelab Florentino Perez dinamakan sebagai Presiden Kelab Terbaik diikuti pemain mereka, Cristiano Ronaldo dinobatkan Pemain Terbaik tahun ini.

Pengurus Paris Saint-Germain, Unai Emery turut menerima Anugerah Khas yang disampaikan oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino.

Artikel Sebelum

Artikel Lain