suria

Melaka United Bentuk Kombinasi Trio Serangan Berbisa

Amri Yahyah sah milik Melaka United pada Jumaat lalu.

MELAKA: Melaka United yakin tiga penyerang iaitu Ilija Spasojevic, Mohd Amri Yahyah dan Sergio Aguero sebagai jentera serangan berbisa mereka dalam kempen Liga Super musim depan.

Ketua jurulatih Melaka United, Eric Williams berkata beliau telah menggariskan perancangan untuk trio itu, berkisar serangan serta kedudukan nombor 10, dan akan melaksanakannya selepas mereka menjalani latihan bersama.

"Apa yang saya harapkan ialah membina kombinasi yang sempurna antara ketiga-tiga mereka dan saya juga amat berharap mereka boleh bermain dalam kedudukan yang berbeza. Saya juga sedang mencari pemain nombor 10 sebagai penyerang kedua.

"Tetapi pada masa ini, saya hanya mempunyai rancangan, mereka masih lagi belum bermain bersama-sama. Kita akan lihat bagaimana keadaannya," katanya kepada pemberita malam Sabtu selepas tamat perlawanan persahabatan yang menyaksikan Melaka United menewaskan Felcra FC, 2-0.

Kapten Melaka United, Spasojevic atau lebih dikenali sebagai 'Spaso' dari Montenegro adalah penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 24 gol, membolehkan skuad Hang Tuah merangkul gelaran juara Liga Perdana 2016.

Mohd Amri yang juga Kapten Harimau Malaysia, yang sebelum ini mewakili Johor Darul Ta'zim merupakan pemain baharu skuad Sang Kancil begitu juga Aguero dari Argentina, yang sebelum ini bermain untuk Kelab FC Tatabanya, Hungary.

Spasojevic telah menjalani latihan dengan pasukan Hang Tuah, Mohd Amri akan melaporkan diri untuk sesi latihan pada Selasa, manakala Aguero masih dalam kecederaan.

Ditanya tentang strateginya untuk pasukan itu, Williams berkata beliau akan menggunakan kaedah hantaran bola pendek dan 'through pass', berbanding hantaran bola tinggi yang sering dipraktikkan pemain negara dan kelab di Malaysia.

"Saya mahu mengubah gaya permainan mereka tetapi malangnya jika pemain gagal mengawal bola dan menempatkan diri mereka di kedudukan yang betul, strategi itu adalah sia-sia, kita perlu membina kekuatan pemain.

"Kami telah jalani latihan hantaran bola, gaya lolos dan menempatkan kedudukan (pemain)...saya mahu melihatnya di atas padang tetapi malam ini tidak banyak yang dapat saya lihat, mungkin tiga atau empat hantaran yang cantik dan kami kehilangan bola," katanya.

Warga Inggeris yang juga pemegang pasport Australia itu, berkata kecergasan satu lagi aspek penting dan beliau sedang berusaha untuk memperbaikinya dan ia sangat-sangat diperlukan untuk sesuaikan dengan gaya permainan yang dirangkanya.

"Pemain tidak akan bermain melainkan jika mereka cergas, saya faham masih terlalu awal tetapi pemain tidak cukup cergas untuk bermain selama 30 minit apatah lagi 45 minit. Jika mereka tidak cukup cergas bagaimana mereka mahu mendapatkan bola. Jadi saya sedikit kecewa tetapi ia adalah sesuatu yang perlu kami atasi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata seperti kelab bola sepak lain di dunia, penyokong adalah aspek paling penting bagi sesebuah kelab bola sepak yang hebat dan beliau berharap penyokong Melaka United akan terus bersama-sama skuad itu semasa susah dan senang. - Bernama

Melaka United, Amri Yahyah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain