suria

Gol Niguez Bantu Atletico Akhiri Kemarau Kemenangan

GOL menerusi percubaan jarak jauh Saul Niguez membantu Atletico Madrid menamatkan kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut apabila menewaskan Las Palmas 1-0, di sini, malam Sabtu.

Atletico ke Stadium Vicente Calderon dengan harapan untuk menang selepas ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu La Liga, Real Madrid setelah tewas empat kali dalam tujuh perlawanan.

Namun, jaringan memukau Niguez pada minit ke-59 sudah tentu melegakan penyokong Atletico.

Gol itu memastikan mereka menamatkan aksi tahun ini dengan hanya ketinggalan satu mata daripada kelompok empat terbaik.

Hasil kemenangan itu Atletico kini menduduki tangga keenam.

Pengurus Atletico, Diego Simeone berkata anak buahnya tetap mengharungi tempoh 12 bulan yang menakjubkan biarpun bergelut dengan aksi tidak menentu pada awal musim ini.

Atletico turut tewas kepada Real pada aksi final Liga Juara-Juara, Mei lalu.

"Dengan mengambil kira di mana kami bermula, kami menamatkan aksi tahun ini dengan menakjubkan. Saya fikir, semua penyokong Atletico perlu berbangga dan kami menamatkannya dengan prestasi yang cukup sempurna," katanya.

Niguez turut berjaya mencipta peluang bagi menjaringkan gol lebih awal namun rembatannya pada minit ke-15 sedikit tersasar.

Atletico Madrid, Saul Niguez

Artikel Lain