suria

Amri Yahyah Ikat Kontrak Setahun Bersama Melaka United

Idris Haron (dua, kiri) bersalaman dengan Amri Yahya selepas menandatangani kontrak bersama pemain itu pada Jumaat. fotoBERNAMA

SEPANG: Penyerang kebangsaan Mohd Amri Yahyah mengikat kontrak setahun bersama Juara Liga Perdana, Melaka United, bagi memantapkan pasukan itu dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Amri, 35, yang dilepaskan oleh pasukan lamanya, Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat sebagai sandaran untuk membantu pasukan barunya itu mencapai kejayaan terutama apabila pasukan itu akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Pemain itu mengakui tawaran yang diberikan kepadanya sukar untuk ditolak walaupun jauh di sudut hatinya ingin kembali menabur bakti ke negeri kelahirannya, Selangor.

"Sebenarnya selepas tamat kontrak bersama JDT, saya menantikan tawaran daripada Selangor tetapi selepas Melaka datang memberikan tawaran, saya tidak menunggu lama untuk membuat keputusan.

"Secara peribadi saya percaya ini adalah pilihan tepat kerana Melaka merupakan pasukan yang dahagakan kejayaan dan mereka sudah membuktikan kecemerlangannya sejak dua musim lalu," katanya selepas mendatangani kontrak secara rasmi bersama pasukan MU di sini Jumaat.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga Presiden Melaka United hadir bagi menyaksikan majlis menandatangani kontrak itu yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Beliau menegaskan walaupun Amri digelar 'Kuda Tua' oleh sesetengah pihak namun ia tidak menjejaskan keyakinan MU terhadap kebolehan pemain itu.

"Dia merupakan pemain yang berkualiti selain pengalaman luas di dalam bola sepak dan agak sukar buat kami untuk tidak mengemukakan tawaran kepadanya.

"Peluang mendapatkan khidmatnya adalah sesuatu yang sukar ditolak dan saya percaya dia merupakan pemain yang memiliki keupayaan setara dengan pemain muda berdasarkan kepada kekuatan mental yang dimilikinya," katanya.

Sepanjang kariernya, Amri sudah menjulang pelbagai trofi kejuaraan termasuk Piala AFC, selain tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama JDT. - BERNAMA


Mohd Amri Yahyah, Melaka United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Chong Wei Gagal Siri Super Dunia

Artikel Lain