suria

Amri Yahyah Bukan 'Kuda Tua' - Melaka United

MELAKA: Melaka United tidak melihat Mohd Amri Yahyah sebagai 'kuda tua' sebaliknya ibarat 'kuda gagah berani' kerana mampu mengekalkan prestasi mantap disebalik usianya semakin meningkat.

Pengurus pasukan itu Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata di sebalik usia 35 tahun, kapten Harimau Malaysia itu mempunyai prestasi yang lebih baik daripada ramai pemain muda lain dan akan memberi sengat kepada jentera serangan pasukan itu untuk bersaing dalam Liga Super musim depan.

"Selain itu kehadiran Amri juga akan memanafaatkan usaha Melaka United membangunkan pemain muda, yang mana pemain muda kami akan dapat menimba ilmu daripada pengalaman luas beliau.

Melaka United mengalu-alukan kedatangan beliau kerana kami baru naik ke Liga Super oleh itu kedatangan beliau akan banyak membantu Melaka United," katanya menerusi kenyataan di sini Khamis.

Pada Rabu, sebuah akhbar tabloid melaporkan Melaka United bakal menjadi destinasi untuk 'kuda tua', yang merujuk kepada Mohd Amri, bagi saingan musim depan.

Dilaporkan sebelum ini kedua-dua pihak, iaitu Melaka United dan Mohd Amri, telah mencapai kata sepakat untuk bekas penyerang Johor Darul Ta'zim itu menyertai skuad Sang Kancil dan difahamkan Mohd Amri akan menandatangani kontrak pada Jumaat.  - BERNAMA

Amri Yahyah, Melaka United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain