suria

Melaka United Beri Ruang Gopinathan Bincang Perpindahan

R Gopinathan.

MELAKA: Pemain sayap, R Gopinathan perlu mendapat pelepasan dari Selangor seandainya mahu menyertai skuad Melaka United musim depan kerana masih mempunyai kontrak dengan pasukan itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata mereka memberi ruang kepada pemain berusia 27 itu berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kerana tidak mahu dituduh 'mencuri pemain'.

Menurutnya Melaka United menawarkan tempat kepada Gopinathan kerana ada penaja yang mahu membawa pemain berkenaan ke Melaka United bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

"Ada penaja mahu membantu menampung sebahagian gajinya kerana awal-awal lagi kami telah katakan Melaka United tidak mampu berbelanja besar dan perlu mengurus wang dengan berhemah.

"Bagaimanapun, kita beri masa dan biarkan Gopi (Gopinathan) selesaikan dengan pasukannya (Selangor) mengenai kontrak itu," katanya yang juga pengurus pasukan Melaka United kepada pemberita di sini Selasa.

Mengulas status perpindahan kapten pasukan Harimau Malaysia, Mohd Amri Yahyah ke Melaka United, Mohd Yusoff berkata secara dasarnya bekas pemain Johor Darul Ta'zim berusia 35 tahun itu bersetuju menyertai skuad Sang Kancil.

"Perpindahan itu dijangka dimuktamadkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris yang juga Presiden MUSA, malam Selasa.

"Amri telah menyatakan kesediaannya bersama Melaka United dan kami akan memberi taklimat kepada presiden mengenai hal ini sebelum perjanjian ditandatangani," katanya. - BERNAMA

Melaka United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Persiapan Kelantan Tidak Terjejas

Artikel Lain