suria

ACL: JDT Bakal Berdepan Laluan Sukar Tempat Lawan

PETALING JAYA: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan laluan berliku untuk memburu tiket ke peringkat kumpulan Kejohanan Bola Sepak Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2017.

Pada majlis undian berlangsung di sini Selasa, JDT diundi bertemu wakil Thailand, Bangkok United yang pernah beraksi dalam saingan ACL 2007, pada aksi play-off pertama, 31 Januari ini di tempat lawan.

Sekiranya menang, skuad Harimau Selatan dijadual menentang pasukan tangga keempat Liga Jepun, Gamba Osaka pada aksi play-off terakhir pada 7 Februari di tempat lawan untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat kumpulan.

Namun jika tewas, JDT akan beraksi dalam kumpulan F Piala AFC bersama Magwe FC (Myanmar), Global FC atau Loyola Meralco Sparks (kedua-duanya dari Filipina) selain pemenang aksi play-off antara wakil Kemboja, Boeungket Angkor dan Lao Toyota dari Laos.

Kedah yang merupakan juara Piala Malaysia 2016, bagaimanapun akan mengisi tempat JDT dalam kumpulan F sekiranya JDT mara ke peringkat kumpulan ACL 2017.

Naib juara Liga Super 2016, Felda United yang membuat penampilan sulung dalam Piala AFC, turut berdepan laluan berliku selepas diundi dalam kumpulan G bersama juara Liga Vietnam, Hanoi T and T SHB Da Nang, naib juara Liga Filipina Ceres Negros FC serta pemenang aksi play-off melibatkan dua kelab Singapura iaitu juara liga, Tampines Rovers FC dan Geylang International FC.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengubah format pertandingan Piala AFC bagi musim 2017 yang menyaksikan pertambahan 11 pasukan kepada 47 pasukan, dan dibahagikan kepada sembilan kumpulan mengikut zon negara berbanding 36 pasukan pada edisi lepas.

Sebanyak 30 pasukan terbaik layak secara automatik ke peringkat kumpulan manakala baki 17 pasukan lagi bakal bersaing dalam perlawanan play-off bagi merebut enam slot peringkat kumpulan.

Dalam pada itu, penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim yang ditemui pemberita selepas majlis undian berkenaan optimis skuad Harimau Selatan mampu mara ke peringkat kumpulan ACL walaupun gagal dalam percubaan pertama mereka musim lepas.

Untuk rekod, JDT kalah 0-3 kepada Bangkok Glass FC pada aksi kelayakan kedua ACL 2015, sekaligus meleburkan harapan mereka beraksi dalam liga elit bola sepak benua Asia itu buat julung kalinya.

"Diharapkan dengan kehadiran pemain import baharu akan membantu pasukan untuk mencatat keputusan positif pada play-off nanti walaupun sedar bukan calang-calang pasukan yang akan kita hadapi," kata Ismail sambil memaklumkan JDT akan mengadakan dua aksi persahabatan pra-musim menentang dua kelab Thailand, Chonburi FC dan Buriram United FC pada awal Januari ini.

Pandangan sama turut disuarakan Pengarah Bola Sepak Felda United Rosli Hussein yang tidak meletakkan sasaran khusus kepada skuad 'The Fighters' dalam penampilan sulung Piala AFC pada musim depan.

"Felda United merupakan 'budak baharu' dalam kejohanan Piala AFC. Banyak kita perlu pelajari memandangkan pengetahuan kita terhadap pasukan dalam saingan ini amat sedikit...nak letak harapan tinggi pun agak mustahil kerana kita bersaing dalam kancah liga bola sepak agak asing bagi kita," katanya.

Beliau menjelaskan pengurusan pasukan masih belum memuktamadkan senarai penuh pemain termasuk kuota empat pemain import bagi memperkuatkan pasukan berkenaan pada musim depan.

Keputusan Undian AFC:

Kumpulan A: Al Zawraa Club (Iraq), Al Ahli (Jordan), Al Jaish (Syria), Shabab Al Khalil (Palestin) atau Al Suwaiq (Oman)

Kumpulan B: Al Hidd Club (Bahrain), Air Force Club (Iraq), Safa SC (Libya),  Al Wahda (Syria)

Kumpulan C: Al Wehdat atau Al Jazeera (Jordan), Muharraq Club (Bahrain),  Saham (Oman), Nejmeh SC (Libya)

Kumpulan D: FC Istiklol (Tajikistan), Altyn Asyr FC (Turkmenistan), FC Alay (Kyrgyzstan), FC Hosilot (Tajikistan)/Shaheen Asmayee (Afghanistan)/Dordoi FC (Kyrgyzstan)/Balkan FC (Turkmenistan)

Kumpulan E: JSW Bengaluru FC atau Kingfisher East Bengal (India), Maziya Sports  and  Recreation Club (Maldives), Abhani Limited Dhaka (Bangladesh), Mohun Bagan (India)/Colombo FC (Sri Lanka)/Thimphu City (Bhutan)/Club Valencia (Maldives)

Kumpulan F: Johor Darul Ta'zim atau Kedah (Malaysia), Magwe FC (Myanmar), Global FC atau Loyola Meralco Sparks FC (Filipina), Lao Toyota (Laos) atau Boeungket Angkor (Kemboja)

Kumpulan G: Felda United FC (Malaysia), Hanoi T and T SHB Da Nang (Vietnam), Tampines Rovers FC atau Geylang International FC (Singapura), Ceres Negros FC (Filipina)

Kumpulan H: Yadanarbon FC atau Yangon United FC (Myanmar), Than Quang Ninh (Vietnam),  Lanexang United FC (Laos), Home United (Singapura) atau Phnom Penh Crown (Kemboja)

Kumpulan I: 4.25 SC (Korea Utara), Rovers FC (Guam), Taipower Company (Taiwan), Tatung FC (Taiwan)/Erchim FC (Mongolia), Kigwancha SC (Korea Utara) - BERNAMA

JDT, ACL 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain