suria

City Mara Kelompok 16 Terbaik

MANCHESTER City memastikan tempat kedua Kumpulan C menjadi milik mereka apabila terikat seri 1-1 dengan Celtic dalam perlawanan peringkat kumpulan terakhir pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Etihad awal pagi Rabu.

Justeru, City akan bersama dengan juara kumpulan Barcelona untuk melangkah ke kelompok 16 pasukan terakhir yang undiannya akan ditentukan pada Isnin depan.

Meskipun tewas, usaha Celtic harus dipuji kerana mempamerkan persembahan penuh bertenaga apabila pemain sayapnya, Patrick Roberts membantu pasukan lawan itu mendahului seawal minit keempat.

Namun pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Kelechi Iheanacho pada minit kelapan.

Celtic mempunyai beberapa peluang untuk menggandakan jaringan menerusi pemain gantian Leigh Griffiths dan Gary Mackay-Steven tetapi percubaan tersebut sedikit tersasar.

Asakan demi asakan yang dilakukan Celtic menyebabkan Pengurus City, Pep Guardiola melakukan sembilan pertukaran pemain daripada pasukan yang tewas kepada Chelsea di gelanggang sendiri, Sabtu lalu.

Namun Guardiola dan Pengurus Celtic, Brendan Rodgers kelihatan berpuas hati dengan keputusan tersebut meskipun berlaku sedikit kekecohan yang dicetuskan sebilangan kecil penyokong pada babak kedua perlawanan.

Celtic gagal meneruskan kemaraan selepas menduduki tangga keempat Kumpulan C, ketinggalan dua mata di belakang B Gladbach.

"Saya amat gembira. Pemain bermain dengan amat bagus menentang pasukan yang bagus.

"Pemain berpengalaman seperti Bacary Sagna, Gael Clichy, Pablo Zabaleta, Fernando dan Gundogan banyak membantu pemain muda.

"Ia pengalaman bagus untuk mereka. Mereka layak beraksi kerana mereka telah berlatih bersungguh-sungguh. Sikap mereka sentiasa sempurna jadi saya gembira memberikan mereka peluang untuk beraksi pada perlawanan ini," kata Guardiola.







Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain