suria

PPBN Serah Surat Penjelasan Kepada FAM

KUALA LUMPUR: Pengarah Kanan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Safirul Abu Bakar mengesahkan sudah menghantar surat penjelasan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan isu pasukan Projek Malaysia Bawah 14 Tahun di Korea Selatan baru-baru ini.

Safirul mengesahkan perkara demikian menerusi aplikasi WhatsApp kepada mStar Online pada Ahad dengan turut menyertakan salinan surat kepadal FAM bertarikh 20 Oktober lalu.

Isi kandungan surat itu menjelaskan tentang tindakan jurulatih yang juga Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim, mengeluarkan arahak kepada pemain-pemainnya agar tidak meneruskan perlawanan pada aksi persahabatan menentang skuad Bawah 15 Tahun, Pohang Steelers FC.

Surat itu menambah, Teong Kim bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati terhadap pengurusan Pohang Steelers yang menurunkan pemain-pemain yang lebih berusia.

"(Tindakan Pohang Steelers itu) memberi impak negatif kepada pemain kita kerana terpaksa berdepan tekanan dan fisikal sehingga menyebabkan mereka hilang keyakinan diri.

"Perlawanan-perlawanan seperti itu tidak akan membawa manfaat kepada pemain, malah mencacatkan proses pembangunan pemain bola yang berbakat," jelas isu kandungan surat tersebut.

Bagaimanapun Safirul berkata,  mungkin cara Teong Kim berkomunikasi dan menguruskan situasi atau insiden menimbulkan salah faham sehingga dianggap sebagai kasar, tidak profesional, tidak praktikal atau tidak mempunyai semangat kesukanan.

"Keputusan yang dibuat Teong Kim adalah untuk melindungi pemain-pemain di bawah jagaannya daripada mendapat tekanan yang akan memberi satu kesan negatif kepada mereka.

"Pihak PPBN memohon maaf bagi pihak Lim Teong Kim sekiranya insiden tersebut sekiranya mengguris pasukan Pohang Steelers FC," jelas Safirul memetik kenyataan surat berkenaan.

Isu tersebut timbul selepas Pohang FC Steelers menghantar surat aduan kepada FAM mengenai tindakan Lim Teong Kim yang tidak membenarkan pemain-pemainnya meneruskan aksi separuh masa kedua perlawanan persahabatan itu kira-kira dua minggu lalu.

PPBN, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain