suria

Bajet 2017: PPBN Lega Kerajaan Sediakan Peruntukan

PETALING JAYA: Pengarah Kanan Program Pembangunan Bola Negara (PPBN), Safirul Abu Bakar lega apabila peruntukan untuk program akar umbi bola sepak negara turut tersenarai dalam Bajet 2017.

Pada Pembentangan Bajet 2017 yang berlangsung di Parlimen pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi tujuan pembangunan sukan negara tahun depan termasuk RM50 juta disalurkan untuk pembinaan Akademi Bola Sepak Fasa II di Gambang, Pahang.

"Saya berasa lega kerana kerajaan terus peka dengan program pembangunan bola sepak negara. Peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM80 juta bagi pembangunan Akademi Bola Sepak Fasa II di Gambang yang dijangka siap pertengahan tahun 2017.

"Sebahagian pelatih akan mula memasuki akademi awal tahun depan dan saya percaya apabila (akademi) siap sepenuhnya, program PPBN akan lebih lengkap dan berjalan lancar dalam melahirkan pemain bola sepak muda yang berbakat," jelasnya ketika dihubungi mstar Online pada Jumaat.

Selain itu, sebagai tuan rumah, sebanyak RM450 juta yang dikhususkan bagi penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean Kesembilan, yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan.

Manakala sebanyak RM70 juta diperuntukkan bagi Program Pembangunan Podium Sukan Elit untuk penyediaan atlet ke pertandingan antarabangsa.

Peruntukan sebanyak RM122 juta turut disediakan bagi tujuan membina dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara termasuk Kompleks Belia dan Sukan Negeri, Kompleks Futsal 1Malaysia dan Kompleks Sukan Komuniti.

PPBN, Safirul Abu Bakar

Artikel Lain