suria

755 Atlet Negara Buru Kecemerlangan Sukan, Sasaran Emas Pertama Olimpik

KUALA LUMPUR: Sebanyak 755 atlet negara kini membuat persediaan mencapai kecemerlangan sukan pada Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 pada 2017 di Kuala Lumpur serta Program Podium (Atlet Elit) yang antara lain menyasarkan kilauan emas Olimpik pertama Malaysia.

Kedua-dua program latihan itu turut melibatkan 105 jurulatih, 140 pertandingan tempatan dan 478 pertandingan antarabangsa, demikian menurut Laporan Ekonomi 2016/2017 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.

Selain untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Program Podium turut menyasar mengembalikan 10 tempat teratas bagi negara pada Sukan Asia di Jakarta-Palembang 2018 dan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, serta melahirkan 10 atlet berkedudukan enam terbaik dunia.

Sehingga akhir Ogos 2016, RM55.7 juta daripada RM155.4 juta peruntukan bagi kedua-dua program itu telah dibelanjakan.

Program Podium ialah antara lapan inisiatif di bawah Rangka Kerja Berprestasi Tinggi melibatkan atlet elit normal dan paralimpik.

Pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini, kontinjen negara meraih empat pingat perak menerusi tiga acara badminton yang disumbangkan Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki; Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran); Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki); acara terjun oleh Pandelela Rinong Pamg-Cheong Jun Hoong; dan pingat gangsa oleh Azizulhasni Awang (berbasikal).

Atlet negara di Sukan Paralimpik yang menyusul pula meraih tiga emas iaitu dalam acara olahraga menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (acara 100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20) dan sebutir gangsa oleh Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh wanita T20).

Dalam pada itu, laporan itu berkata kerajaan membelanjakan RM114.8 juta daripada RM280 juta peruntukan bagi latihan teknikal dan vokasional di Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara.

Ia turut menyalurkan RM2.1 juta sehingga akhir Ogos kepada 73 badan bukan kerajaan (NGO) menerusi program pembangunan masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Program itu dibahagikan kepada lapan bidang utama iaitu keluarga, keibubapaan, praperkahwinan, pengukuhan perkahwinan, program remaja, kesihatan reproduktif dan pencegahan HIV/AIDS. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain